Komited jana ekosistem jangka panjang berteras inovasi dan modal insan, kata Exco

Admin
whatsapp image 2025 05 20 at 09.56.20

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mengambil pendekatan bukan sekadar menarik pelaburan, malah juga membina ekosistem jangka panjang yang lestari, berteraskan inovasi dan modal insan.

Demikian respons Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo sebagai menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 20 Mei 2025.

“Pelaburan berterusan daripada syarikat gergasi seperti Intel, AMD, Lam Research dan Bosch bukan sahaja menyumbang kepada peluang pekerjaan, malah mempercepat proses pemindahan teknologi dan peningkatan keupayaan tempatan.

“Sebagai contoh, syarikat Intel telah membuat pelaburan untuk membina kemudahan pengilangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih bagi menempatkan teknologi semikonduktor terkini.

“Di samping itu, syarikat tersebut turut melaksanakan Pelan Induk Bakat STEM Pulau Pinang yang menyasarkan latihan 60,000 jurutera menjelang tahun 2030, selari dengan matlamat Dasar Semikonduktor Negara,’’ jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Jagdeep turut menyatakan bahawa institusi seperti Penang Skills Development Centre (PSDC), Penang STEM, beberapa politeknik dan university-universiti awam tempatan turut menjadi penghubung antara keperluan industri serta penyedia pendidikan.

“Seterusnya, program seperti “Train and Place”, pensijilan industri bersama serta pembangunan ko-kurikulum bersama industri telah disepadukan dalam sistem pendidikan bagi memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran teknikal dan insaniah yang relevan.

“Melalui program STEM Coach-in-School pula, lebih 4,160 bengkel yang melibatkan 37,000 pelajar telah menyertai pelbagai bengkel, pertandingan inovasi dan aktiviti kejuruteraan awal yang disokong oleh jurutera-jurutera industri.

“(Dan) hasilnya sehingga kini, 41 peratus tenaga kerja dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang berada dalam kategori teknikal dan berkemahiran tinggi, melebihi purata kebangsaan iaitu 29 peratus,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & AHMAD ADIL MUHAMAD