Komited pastikan skim perumahan awam dalam keadaan kondusif dan selamat

Admin
b97ac48d bff5 4ef2 9792 f8a20f765d62 KETUA Menteri (depan, dua dari kanan) dan Lee Boon Heng (depan, dua dari kanan) bersama-sama pemimpin komuniti lokal semasa siri jelajah ke Rumah Pangsa (RP) Padang Tembak di sini sebentar tadi.

KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri hari ini melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan terus komited memastikan skim perumahan awam sedia ada berada dalam keadaan kondusif dan selamat dengan pelaksanaan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur asas dari semasa ke semasa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata sedemikian selepas mengadakan siri jelajah ke Rumah Pangsa (RP) Padang Tembak bagi meninjau tahap kemajuan kerja-kerja naik taraf utiliti di Blok H serta perancangan sistem keselamatan kebakaran di Blok G di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, fokus utama tinjauan tersebut adalah bagi memastikan setiap kemudahan asas dan sistem keselamatan bangunan berfungsi pada tahap optimum demi kesejahteraan penduduk setempat.

“Kos keseluruhan projek penaiktarafan ini berjumlah RM745,260 (yang mana) sumber peruntukan adalah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempayan (KPKT) di bawah program Tabung Penyelenggaran Perumahan Awam.

“Projek penaiktarafan ini sudah bermula, akan mengambil masa selama 20 minggu dan dijangka siap pada 27 Ogos 2026 dengan tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan sebelum ia diserahkan kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi di sini pada 2 Mei 2026.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa di Blok H juga sedang dilaksanakan kerja-kerja pendawaian semula secara menyeluruh yang melibatkan kawasan guna sama seperti koridor, tangga dan ruang legar.

Tambah beliau, kerja-kerja penaiktarafan lain di Blok H merangkumi pemasangan lampu siang dan malam yang mengoptimumkan penggunaan tenaga serta memastikan lampu kecemasan (emergency lights) sebagai mematuhi piawaian keselamatan bangunan ditetapkan.

Sementara di Blok G pula, Kon Yeow memberitahu bahawa LPNPP sedang merancang kerja-kerja pembaikan Rumah Pam Bomba yang menjadi nadi kepada sistem pencegahan kebakaran bangunan.

Menurutnya, tinjauan teknikal dilakukan bagi memastikan tekanan air dan keadaan pam berada pada tahap terbaik agar sistem ‘sprinkler’ serta ‘hose reel’ dapat berfungsi serta-merta sekiranya berlaku kecemasan.

Dengan anggaran kos RM200,000, Kon Yeow menyatakan bahawa projek penaiktarafan di Blok G itu masih pada peringkat perancangan dan kajian kos dengan cadangan pelaksanaan bermula pada Jun hingga Disember tahun ini.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri di bawah Visi Penang2030 untuk menyediakan persekitaran hidup yang lebih selamat dan berkualiti kepada rakyat Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

ADUN Kebun Bunga, Lee Boon Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Ahli Majlis MBPP, Foo Yu Keong turut sertai siri jelajah ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN