Komited realisasi misi Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa – Akbar

Admin

DI sebalik merealisasikan hasrat dan misi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa yang menerajui bukan sahaja sektor industri tetapi dari aspek pelancongan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melalui Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa memainkan peranan penting untuk memastikan segala perancangan serta gerak kerja dilaksanakan dengan jitu ke arah mencapai tahap global berkenaan.

MOHAMED Akbar Mustapha.
MOHAMED Akbar Mustapha.

Ikuti temubual wartawan Buletin Mutiara (BM), NORSHAHIDA YUSOFF dan MOHAMADSHAWAL AHMED serta jurugambar, ALLISSALA THIAN bersama Pengarah Jabatan Reakrasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa, Mohamed Akbar Mustapha di pejabatnya di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

BM : Boleh Encik ceritakan serba sedikit latar belakang dan pembabitan dalam bidang ini?

MOHAMED AKBAR (AKBAR) : Saya mula berkhidmat di MPPP pada tahun 1993 sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Keindahan dan Rekreasi untuk membangunkan taman-taman awam dan rekreasi khususnya Taman Belia. Taman ini yang dahulunya kurang aktif dan ceria, kini, menjadi sebuah taman yang terbaik di Malaysia di mana Jabatan Lanskap Negara menilai Taman Belia sebagai sebuah taman rekreasi yang lengkap dengan prasarana untuk semua lapisan masyarakat. Idea yang dicetuskan oleh Tun Dr. Lim Chong Eu pada masa itu menjadi realiti di mana berbagai program bagi melahirkan belia-belia yang aktif dan mencintai alam sekitar telah tercapai. Pada tahun 2001, saya telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah (Keindahan dan Rekreasi) yang mana kemudiannya saya ‘dipinjamkan’ untuk bertugas dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2010-2011. Sekembalinya saya bersama MPPP pada tahun 2011, saya telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Khidmat Kemasyarakatan dan kemudian, Pengarah berkuatkuasa Julai 2011.

BM : Bagaimanakah Encik Akbar melihat tahap realiti rekreasi dan pelancongan di negeri ini?

AKBAR : Seperti yang kita ketahui, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri yang paling aktif dari segi sukan massa, rekreasi dan sukan pelancongan. Jika dilihat dari segi program-program yang telah disusun sepanjang tahun sama ada dari pihak Pejabat Exco Belia dan Sukan, MPPP dan kelab-kelab sukan dan rekreasi di Pulau Pinang, ianya adalah sangat menyeluruh dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari warga Pulau Pinang dan juga para peserta luar negara. MPPP bukan sahaja bertanggungjawab menyokong program yang dianjurkan oleh Pejabat Exco, malahan, program-program komuniti seperti “Cleaner, Greaner Penang” juga dianjurkan setiap minggu sepanjang tahun bersama-sama dengan Ahli Majlis MPPP. Yang terkini, pihak MPPP sedang menyusun dan merangka strategi di bawah program Majlis Perunding Komuniti (MPK) melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan juga pihak swasta untuk berganding bahu bagi menjayakan misi ini.

Bagi sektor pelancongan, MPPP merupakan antara empat pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang telah dipilih oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan pada 2002 sebagai ahli Tourism Promotion Organization for Asia Pacific Cities (TPO) untuk membantu memajukan sektor industri pelancongan. Dengan ini, beberapa inisiatif telah dilakukan antaranya mengadakan jalinan friendship city bersama bandar Taipei, Kaoshiung dan yang terkini bersama bandar Bangkok. Manakala, bagi sister city, MPPP telah lama menandatangani memorandum persefahaman bersama bandar Medan, Indonesia, bandar Adelaide, Australia dan bandar Xiamen, China.

Selain itu, MPPP telah mewujudkan sebuah Taman Persahabatan (Friendship Park) di hadapan Hotel City Bayview, Lebuh Farquhar untuk ditanam pokok Bucida Varigated oleh Datuk Bandar (Mayor) yang berkunjung ke Pulau Pinang. Pada tahun ini, adalah dianggarkan seramai 68 Datuk Bandar TPO akan berada di sini bagi menghadiri 5th TPO Forum 2012 yang akan diadakan pada 5-7 September 2012.

BM : Bolehkan Encik senaraikan anugerah yang berjaya dirangkul oleh jabatan ini sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa?

AKBAR : Yang paling membanggakan adalah apabila MPPP berjaya merangkul anugerah tiga tahun berturut-turut di peringkat antarabangsa melalui TPO Forum dan TPO General Assembly yang diadakan iaitu Best Tourism Brochure Award (2011), Best Print Advertisement Award (2009 dan 2010) bersama Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang. Selain itu, di peringkat kebangsaan, MPPP berjaya merangkul Silver Starlight Award di Floria Putrajaya 2011.

BM : Bagi mengakhiri wawancara kita kali ini, apakah harapan Encik yang mungkin boleh dikongsi bersama para pembaca Buletin Mutiara?

AKBAR : Adalah menjadi harapan MPPP untuk menjadikan George Town sebagai sebuah bandar bertaraf antarabangsa baik dari segi sukan, rekreasi, pelancongan dan juga keindahan. Dengan wujudnya lebih banyak taman-taman mini, taman kejiranan dan taman-taman poket di dalam bandar, Pulau Pinang juga akan menjadi sebuah ‘bandar dalam taman’ dalam masa terdekat. MPPP juga akan mewartakan semua pokok-pokok warisan di seluruh Pulau Pinang dibawah program Tree Preservation Order (TPO) dalam masa terdekat. Usaha-usaha ini akan meletakkan George Town sebagai sebuah bandar bertaraf antarabangsa dan terunggul di dunia.