Laksa beras Kg. Petani sesuai untuk ibu dalam pantang

Admin

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BEZANYA laksa beras dengan laksa biasa adalah ia produk asli tanpa bahan pengawet dan tawas. Rupa bentuknya juga tidak sama dengan laksa biasa yang kelihatan licin, berkilat, lembik dan tidak pejal.

Walaupun tempoh ketahanan laksa beras tidak lama seperti laksa biasa iaitu hanya dua hari (sekiranya dicuci bersih dan dimasak elok), namun, rasanya adalah amat sedap – seperti nasi. Apa yang lebih menarik adalah, laksa beras juga sesuai dimakan oleh ibu-ibu yang dalam pantang.

Bagi menyingkap dengan lebih lanjut pembuatan laksa beras, Buletin Mutiara (BM) telah berkunjung ke kediaman Indon Mohamad, 55, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Indon yang merupakan pembekal utama (laksa beras) di Kampung Petani, Permatang Pasir, Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketika BM tiba di perkarangan Kak Indon, beliau tengah sibuk menguruskan premis laksa milik keluarga yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya. Tanpa berlengah, Kak Indon kemudian membawa kami ke bahagian belakang kediamannya yang menjadi lokasi memproses laksa beras sejak 35 tahun lalu.

INDON Mohamad.
INDON Mohamad.

“Setiap hari, saya akan bangun seawal 4.30 pagi untuk membuat laksa. Dalam tempoh satu jam, sebanyak 20 kilogram laksa dapat dihasilkan dan proses tersebut berlarutan sehingga jam 9 pagi bagi memenuhi permintaan bekalan harian oleh peniaga-peniaga tempatan.

“Sebelum ini, memang akak buat seorang, tapi, kini, akak ada seorang pembantu yang tolong buat semua. Akak pantau je dan lebih fokus pada perniagaan di restoran,” katanya sambil menjelaskan bahawa bahan asas yang digunakan dalam pembuatan laksa beras adalah tepung beras, air kanji dan tepung ubi.

Selain laksa, Kak Indon juga merupakan pembekal kuah laksa resipi ibunya turun-temurun. Setiap hari, sebanyak 4 kg ikan digunakan untuk menyediakan 40kg kuah laksa.

Berkongsi mengenai rahsia resipi laksa beras yang amat popular bukan hanya dalam kalangan masyarakat tempatan, Kak Indon menyatakan bahawa ia (resipi) diperturunkan daripada bapanya. Manakala, kuah laksa adalah daripada ibunya.

“Sejak kecil, saya memang minat dan suka tengok ayah dan mak buat laksa serta kuah. Bagaimanapun, setiap kali saya ingin tolong, arwah mak akan larang sehinggalah tindakannya ‘ditegur’ arwah ayah.

“Masa tu saya berusia 13 tahun dan ayah telah tegur mak yang ketika itu sarat mengandung adik bongsu (anak ke-7) supaya membenarkan saya membantunya. Selepas 24 hari melahirkan adik bongsu, mak telah pergi meninggalkan kami adik-beradik,” katanya sambil menjelaskan bahawa insiden terbabit yang banyak menyuntik semangat beliau untuk meneruskan perniagaan laksa hingga kini.

Pada peringkat permulaan berniaga iaitu sekitar tahun 70-an, arwah bapa Kak Indon membuat laksa menggunakan kaedah tradisional dan manual. Malah, laksa yang telah disiap diproses dijaja menggunakan motosikal di sekitar pekan berhampiran. Selain itu, ia juga dijual di pasar malam tempatan sebelum mereka mampu membuka warung laksa sendiri.

“Ketika mula-mula berniaga, satu mangkuk laksa dijual pada harga 70 sen. Selepas ayah meninggal, adik telah mengambil alih perniagaan sehingga kini, manakala saya membuka kedai laksa sendiri pada tahun 2000,” ujar beliau.

Seperti peniaga lain, harapan Kak Indon adalah untuk memperluaskan pasaran perniagaan dan memiliki perkhidmatan penghantaran bekalan laksa ke lokasi-lokasi mengikut permintaan para pelanggan. Pada masa sama, beliau juga ingin mendapatkan lokasi atau bangunan khas untuk memproses laksa keluarannya.

Perniagaan Laksa Beras Kampung Petani :

Waktu perniagaan : 9.30 pagi – 4 petang

Tutup : Jumaat

Tempahan : 04 – 521 1127 / 019 – 521 3452

LAKSA beras Kampung Petani.
LAKSA beras Kampung Petani.
PENGUNJUNG Restoran Laksa Beras Kampung Petani adalah terdiri daripada pelbagai bangsa.
PENGUNJUNG Restoran Laksa Beras Kampung Petani adalah terdiri daripada pelbagai bangsa.
HIDANGAN istimewa laksa beras berserta kuah.
HIDANGAN istimewa laksa beras berserta kuah.
ANAK Indon Mohamad dan isteri banyak membantu meringankan beban beliau di restoran laksa miliknya.
ANAK Indon Mohamad dan isteri banyak membantu meringankan beban beliau di restoran laksa miliknya.