SUNGAI PINANG – Keprihatinan Kerajaan Negeri pada aspek kesihatan dan kebajikan rakyat diterjemahkan melalui inisiatif strategik yang terkandung dalam Visi Penang2030.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, melalui Visi Penang2030 Kerajaan Negeri memfokuskan usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab penjagaan kesihatan unggul di rantau ini.
“(Hal ini terbukti) apabila terdapat peningkatan pelancongan perubatan dan pembangunan kemudahan kesihatan bertaraf dunia seperti Penang Medi-City di Batu Kawan.

“Selain itu, terdapat juga inisiatif untuk mengadakan pelbagai program yang menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma atau aktiviti berkaitan kesihatan di negeri ini saban hari.
Semua usaha ini menjurus pada kontek Visi Penang2030 untuk meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk Pulau Pinang terutama yang memerlukan perhatian khusus seperti warga emas dan golongan rentan.
“Oleh itu, syabas kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Timur Laut kerana menganjurkan Program Saringan Kesihatan “Jejak Kanser” Dan Latihan Sukarelawan di sini hari ini (14 Ogos),” ujarnya pada majlis berkaitan di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Timur Laut, Ismasuhaimi Shariff; Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr. Nurulain Sakan; Ketua Operasi Bahagian CARE, NCSM, Dr. Jason Chin Yu Aun dan Pengerusi Masjid Al-Bukhary selaku tuan rumah, Mohamed Zain A. Ibrahim.
Menurut Siew Khim, program julung kali diadakan ini melibatkan program kesihatan umum yang menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Antaranya pemeriksaan indeks jisim badan, tekanan darah, ujian hepatitis B dan hepatitis C, smokerlyser, mamogram, antigen prostat dan konsultasi kesihatan.
“Turut diadakan adalah saringan kesihatan khas bagi mereka di bawah program PeKa B40 dan penyumbang Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berdasarkan terma dan syarat program tersebut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Difahamkan, seramai 150 individu hadir pada program yang diadakan sejak 9.00 pagi itu melibatkan pelbagai peringkat usia.

Sebagai rekod, sepanjang tahun 2024 NCSM telah melaksanakan hampir 400 program “Jejak Kanser” di seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan telah memberi impak kepada hampir 1 juta rakyat.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ADUN