TANJUNG BUNGA – Usaha memperkasa penjagaan hospis dan kebajikan pesakit kanser yang memerlukan rawatan akhir hayat terus dipertingkat menerusi pelancaran ruang bilik hospis dan bilik perpisahan (bereavement room) yang telah dinaik taraf di Mount Miriam Cancer Hospital (MMCH) di sini semalam.
Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.
Semasa berucap, Zi Sen menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu langkah penting dalam memastikan rawatan kesihatan yang menyeluruh dan berperikemanusiaan terus kekal relevan di tengah-tengah arus pemodenan sistem perubatan negara.

“MMCH kekal unik dalam landskap penjagaan kesihatan negeri ini kerana memberi keutamaan kepada keperluan pesakit tanpa mengira latar belakang kewangan, dan pada masa sama terus memegang teguh nilai ihsan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatannya.
“Penjagaan kesihatan bukan hanya soal rawatan, tetapi juga soal maruah, ketenangan dan kasih sayang sehingga ke penghujung hayat.
“Justeru, usaha MMCH untuk menyediakan ruang yang selesa dan penuh hormat kepada pesakit yang berada dalam fasa akhir kehidupan wajar dipuji dan disokong,” ujarnya.
Hadir sama, Pengerusi Mount Miriam Cancer Hospital (MMCH), Mervyn Lim; Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Kang serta barisan Lembaga Pengarah dan penyumbang dana utama projek berkaitan.
Sementara itu, Mervyn Lim memaklumkan bahawa sebanyak RM195,000 berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak bagi menambah baik lima bilik hospis serta sebuah bilik perpisahan yang kini dilengkapi lantai baharu, kabinet dan kemudahan yang lebih mesra pengguna serta keluarga.

Antara penyumbang utama termasuk Ivy Technology yang menaja dua bilik; keluarga Lau (1); Tan Teng Leng, K. H. Tan dan Yang Tse Pin (1) serta pelbagai penderma lain termasuk seorang penderma yang tidak mahu dikenali yang menaja sepenuhnya bilik perpisahan.
“Seramai 47 pesakit kanser telah menerima penjagaan rapi termasuk pengurusan kesakitan, sokongan emosi dan bantuan spiritual oleh pasukan hospis terlatih.
“Kos untuk menjaga seorang pesakit hospis mencecah RM380 sehari, dengan kos tahunan bagi lima bilik mencecah RM684,000.
“Dana Kebajikan Kanser MMCH turut mencatat perbelanjaan tertinggi dalam sejarah hospital iaitu sebanyak RM3.19 juta pada tahun lalu iaitu dua kali ganda daripada purata tahunan sebelumnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata MMCH bakal melancarkan Dana Endowmen dalam masa terdekat sebagai model pembiayaan jangka panjang yang dijangka mampu menjana aliran dana berterusan untuk menampung keperluan rawatan dan subsidi kepada pesakit yang kurang berkemampuan.
Kami tidak boleh bergerak sendiri dalam usaha ini.
“Sokongan daripada orang awam, syarikat korporat dan yayasan amat diperlukan untuk memastikan misi kasih sayang ini dapat diteruskan kepada generasi akan datang,” ujarnya sambil menyeru supaya lebih ramai pihak tampil menjadi sebahagian daripada inisiatif ini.
Selain itu, MMCH turut menyatakan komitmen untuk terus memperkasa kemudahan, peralatan rawatan serta memperluas akses kepada rawatan yang menyeluruh menjelang ulang tahun ke-50 penubuhannya pada tahun hadapan.
Sebarang pihak yang berminat untuk menyumbang kepada dana ini boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Komuniti MMCH, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bentuk kerjasama dan sumbangan.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 014-343 3894/ 04-892 3875 atau e-mel ke alamat: [email protected]
Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: SIEW CHIA EN