Komitmen Ziana jamin kualiti kopi D’ Heritage

Admin
ABDUL Gaffor Sahul Hamid dan Rabiah Abu Bakar.
ABDUL Gaffor Sahul Hamid dan Rabiah Abu Bakar.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

PREMIS D’ Heritage merupakan bangunan yang tersergam paling indah di Teluk Bahang.

 

Kelainan ditampilkan mampu memikat setiap mata yang melalui kawasan tersebut selepas laluan berliku dari Balik Pulau ataupun Batu Feringghi.

 

Malah, apabila memasuki premis berkenaan, tidak dapat dinafikan bahawa setiap mata akan terpegun dengan reka bentuk dan bau kopi serta coklat yang diatur rapi di premis berkenaan.

 

Tidak kurang juga layanan diberikan, mewujudkan suatu perasaan selesa yang mendorong setiap pengunjung membawa pulang buah tangan daripada premis berkenaan.

 

Berlandaskan pengalaman selama enam tahun sebagai pemandu pelancong, Abdul Gaffor Sahul Hamid bersama-sama isterinya, Rabiah Abu Bakar yang masing-masing berusia 43 tahun mengambil keputusan untuk bergiat dalam bidang perniagaan kopi dan coklat.

 

Bermatlamat untuk menjadikan premisnya sebagai one stop centre kepada pelancong-pelancong khususnya dari Timur Tengah, Rabiah atau lebih mesra dengan panggilan Ziana menyatakan bahawa idea tersebut adalah daripada suaminya yang berasal dari  Perak.

 

Istimewanya, kopi dan coklat dijual di premisnya adalah yang terbaik daripada yang terbaik. Selain itu, madu dan teh juga merupakan sebahagian produk yang kian memperoleh permintaan kini.

 

PRODUK kopi dibungkus menarik setaraf dengan kualiti ditawarkan.
PRODUK kopi dibungkus menarik setaraf dengan kualiti ditawarkan.

“Terdapat 16 jenis kopi dijual di premis kami dan semuanya adalah special sebab ia merupakan home made dan made in D’ Heritage.

 

“Bagi setiap produk, saya akan rasa dan bau dulu adunan-adunannya sebelum dipasarkan.

 

“Uniknya, kopi di sini (D’ Heritage) adalah lebih lemak (creamer), kurang manis dan terdapat juga produk khas iaitu slimming coffee khas untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan’’ jelas Ziana kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, walaupun bukan peminat kopi, Ziana menyatakan bahawa beliau dikurniakan dengan deria rasa sempurna bagi membantu dalam penghasilan produk-produk syarikatnya.

 

Malah, bagi menjamin kualiti dikeluarkan, Ziana serta Abdul Gaffor meneroka ke merata tempat bagi mengenalpasti pembekal-pembekal bahan mentah terbaik di Kuala Lumpur selain Pulau Pinang.

 

Pada usia setahun jagung, pasangan tersebut mengakui bahawa mereka tidak begitu arif dengan cabaran serta liuk piuk sektor pelancongan yang mempunyai musim naik turun.

 

“Baru-baru ini, masa low season (kurang pelancong), perniagaan kami memang hadapi masalah pusingan modal.

 

“Memang susah! Sampai nak bayar gaji pun….

 

“Banyak modal yang kami labur dalam perniagaan ni terutamanya pada perniagaan cafe (yang terletak bersebelahan dengan premis coklat). Masa tempoh ‘susah’ tuh, kami sampai nak kena buat pinjaman, namun, tak dapat.

 

“Walaupun permohonan pinjaman ditolak, kami tetap nekad nak teruskan perniagaan. Kami cari ikhtiar sendiri dan Alhamdulillah, atas kuasa Allah, kami berjaya tempuhi dugaan tersebut,’’ katanya sambil melahirkan rasa syukur.

 

PRODUK madu yang dijual.
PRODUK madu yang dijual.

Mengulas lanjut mengenai kunci perniagaannya yang kian dikenali ramai kini, Ziana menyatakan bahawa layanan yang diberikan terhadap seseorang pelanggan adalah amat penting.

 

“Bagi setiap pelanggan yang memasuki premis, layanan secara peribadi akan diberikan iaitu seorang kakitangan akan dipertanggungjawabkan untuk memberi penjelasan mengenai produk-produk jualan. Pada masa sama, mereka (pelanggan) juga diberikan peluang mencuba semua produk yang dijual di sini,’’ jelasnya.

 

Berbicara mengenai perancangan masa depan, Ziana menyatakan bahawa selain memperbesarkan lot premis sedia ada, adalah menjadi harapan beliau dan suami untuk membuka cawangan di Melaka, Johor Bahru, Langkawi dan Kuala Lumpur.

 

“Kami nak bawa warisan Pulau Pinang ke seluruh negara dan dunia. Contohnya, kini, ramai pelancong Timur Tengah yang pernah membeli produk kami membuat tempahan dan kami menghantar barangan tersebut menerusi pos.

 

“Melihat kepada kejayaan kecil ini, saya akan terus mempelbagaikan lagi produk berkualiti D’ Heritage bagi mencapai impian kami suami isteri,’’ ujarnya yang dikurniakan tiga cahaya mata.

 

 

INFO :

D’ Heritage Coffee & Chocolate House

2F Tingkat Bawah, Jalan Teluk Bahang,

11050 Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Telefon & Faks : 04- 881 1767

Laman web : www.dheritage2u.com

Emel : [email protected]