Kompaun RM550 premis kotor

Oleh : ZULIANA AZIZ

ONG Ah Teong menunjukkan ikan yang telah mati dijumpai bersama-sama ikan hidup di dalam tong yang sama.
ONG Ah Teong menunjukkan ikan yang telah mati dijumpai bersama-sama ikan hidup di dalam tong yang sama.

GEORGE TOWN – Bertindak atas maklumat awam, Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah menjalankan satu operasi mengejut terhadap sebuah kedai runcit yang didapati melanggar pelbagai peraturan perniagaan di Majestic Height, Paya Terubong, di sini baru-baru ini.

Di dalam operasi yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong dan Ahli Majlis MPPP, Prem Anand mendapati bahawa premis tersebut bukan hanya menjalankan perniagaan secara haram, malah, juga gagal menunjukkan lesen perniagaan.

Selain itu, hasil serbuan turut mendapati sebanyak 12 ekor ayam diletakkan di atas lantai di dalam tandas yang kotor dan menjijikkan. Terdapat juga tiga tong ikan hidup bergelumang di dalam air kotor bersama-sama ikan yang telah mati dan mereput.

BEBERAPA ekor ayam hidup yang dirampas ketika serbuan dibuat oleh Penguatkuasa MPPP di sebuah kedai runcit, di sini, baru-baru ini.
BEBERAPA ekor ayam hidup yang dirampas
ketika serbuan dibuat oleh Penguatkuasa MPPP
di sebuah kedai runcit, di sini, baru-baru ini.

Malah, operasi yang turut dihadiri seorang Inspektor Daging MPPP turut mendapati bahawa terdapat daging lembu yang telah busuk diletakkan di dalam bekas untuk dijual kepada orang awam.

Menurut Ah Teong, kesemua ayam dan ikan hidup dirampas oleh MPPP dan hanya akan dikembalikan selepas peniaga membayar kompaun.

“Adalah salah di sisi undang-undang sekiranya kedai runcit menjual daging atau ikan hidup. Cuma daging beku sahaja yang dibenarkan dijual,” ujar Ah Teong selepas serbuan berkenaan di sini semalam.

Atas semua kesalahan tersebut, peniaga warga asing itu dikenakan kompaun sebanyak RM100 kerana kesalahan memelihara haiwan hidup di dalam premis, RM100 bagi kesalahan meletakkan barang di atas lantai, RM100 kerana premis kotor dan RM250 kerana tiada lesen berniaga yang sah.