Dasar baru pro-pekerja 2012 MPSP, gaji minima RM1,350

SEBERANG PERAI – Bagi membela kebajikan pekerja, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal memperkenalkan dasar baru dengan merombak semula kontrak pembersihan MPSP bermula tahun 2012.

Pada masa kini, pekerja paling rendah dalam MPSP adalah dalam kategori pekerja awam bergred R1, yang mana gaji permulaan mereka adalah kira-kira RM1,200 termasuk elaun tetap bulanan. Pekerja yang tergolong dalam kategori ini umumnya pekerja pembersihan.

Dengan elaun tambahan sebanyak RM150 yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadikan pampasan keseluruhan pekerja gred paling rendah di MPSP adalah sekurang-kurangnya RM1,350 sebulan.

Menurut kajian ringkas, MPSP kini mempunyai kira-kira 2,000 pekerja pembersihan yang digaji di bawah kontraktor-kontraktor pembersihan swasta dan bergaji di antara RM600-RM750 sebulan.

Manakala kebergantungan terhadap pekerja migran sangat tinggi, iaitu kira-kira 75 – 80 peratus daripada mereka adalah warga asing.

Justeru, pada tahun hadapan, MPSP telah mewajibkan kontraktor-kontraktor pembersihan swasta di bawah kontrak majlis mengambil sekurang-kurangnya 70 peratus pekerja mereka, iaitu warga tempatan. Gaji pokok pekerja ini pula perlu sekurang-kurangnya RM800, tidak termasuk elaun yang berhak diterima. Manakala gaji bulanan bakal mencecah RM1,000-RM1,100 sebulan jika ditambah elaun.

Lantaran itu, MPSP bakal mewujudkan lebih kurang 1,500 peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia dengan kadar gaji antara RM800-RM1,100 sebulan. Ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja migran tidak mahir sekaligus meningkatkan mutu perkhidmatan pembersihan, malah selaras dengan dasar pro-pekerja Kerajaan Negeri untuk mendukung masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah di negeri ini.

Dengan adanya peluang pekerjaan bergaji sederhana ini, maka masyarakat golongan terbawah sedikit sebanyak dilindungi daripada tempias angin kencang krisis ekonomi global.