BERTAM – Projek pembinaan Kompleks Makanan Bertam Perdana dekat Kepala Batas yang bermula awal Januari lalu dijangka mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata projek yang menelan kos hampir RM5 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh MBSP itu bakal menjadi nadi ekonomi baharu yang merancakkan aktiviti perniagaan komuniti setempat.
Beliau berkata, kompleks makanan itu bakal dilengkapi dengan 40 unit gerai makanan (gerai A dan B); lot parkir kereta (66); lot parkir OKU (4); parkir motosikal (45); kemudahan surau lelaki dan wanita, tandas awam termasuk tandas OKU; stor utiliti serta pusat kitar semula.
“Projek ini merupakan satu lagi manifestasi komitmen berterusan MBSP dalam menyediakan infrastruktur perniagaan dan perkhidmatan awam yang kondusif, moden dan lestari.
“Skop kerja projek ini merangkumi bukan sahaja pembinaan Kompleks makanan, tetapi turut merangkumi pembinaan pejabat penyelenggaraan, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal serta penyediaan kemudahan awam yang menyeluruh.
“Syarikat Kejuruteraan Jaya Kukuh telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pembinaan ini dan pihak MBSP amat berharap
agar pelaksanaannya dapat dijalankan dengan lancar serta menepati spesifikasi teknikal, jadual masa dan bajet yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembinaan kompleks makanan berkaitan dekat sini pada 30 Julai 2025.


Hadir sama, Ketua Whip Ahli Majlis bagi MBSP; Zainuddin bin Mohamed dan Muhamad Suzuki Ahmad; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor serta ketua-ketua jabatan MBSP.
Baderul Amin berkata, pembinaan kompleks makanan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik MBSP dalam usaha memperkasa pembangunan infrastruktur penjaja dan pasar awam di seluruh Seberang Perai.
“Selain daripada projek ini, sebanyak tujuh lagi projek utama telah dikenal pasti pada tahun ini sahaja, dengan jumlah kos keseluruhan melebihi RM47 juta.
“Projek-projek ini merangkumi kerja-kerja pembangunan semula, naik taraf dan penempatan semula penjaja di beberapa lokasi tumpuan seperti Sri Uda, Jeti Lama, Taman Bagan, Taman Chai Leng, Taman Sri Rambai, Taman Seri Akasia dan Bukit Mertajam.
“Inisiatif menyeluruh ini mencerminkan komitmen berterusan MBSP dalam menyediakan prasarana yang lebih kondusif, tersusun dan selamat demi kesejahteraan para peniaga serta kemudahan pengguna,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata bahawa pendekatan holistik itu bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal tetapi turut menjurus kepada peningkatan taraf ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang menjadi tulang belakang
kepada ekonomi bandar.
“Inilah wajah Malaysia MADANI yang kita impikan yang mana mana pembangunan fizikal selari dengan kemajuan sosial dan ekonomi.
“Justeru, harapan saya adalah agar projek ini dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan kawasan Bertam Perdana dan sekitarnya serta membuka ruang dan peluang baharu kepada golongan penjaja untuk beroperasi dalam persekitaran yang lebih selesa, teratur dan berdaya saing.
“Saya juga menyeru agar semua pihak termasuk agensi pelaksana, pihak kontraktor dan komuniti setempat, dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan projek ini dengan penuh tanggungjawab dan komitmen,” serunya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS