Kompleks Makanan Persiaran Gurney dinaik taraf bernilai RM455,055

img 6481

PULAU TUKUS– Kompleks Makanan Persiaran Gurney (berhampiran Gurney Bay Fasa 2) kini tampil dengan kemudahan lebih moden dan teratur menerusi projek naik taraf bernilai RM455,055 yang dibiayai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkukuh daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan makanan.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, penambahbaikan itu penting bagi memastikan kemudahan penjaja sentiasa bersih, berfungsi dengan baik dan memenuhi keperluan peniaga serta pengunjung.

img 6475 img 6477 img 6470

“Sebagai syurga makanan, Pulau Pinang perlu memastikan kompleks makanan dan astaka berada dalam keadaan bersih serta terurus supaya pengunjung yakin terhadap kualiti makanan dan persekitaran tempat mereka menjamu selera.

“Projek yang dijalankan bermula 1 Mei hingga 30 September lalu itu merangkumi pembinaan struktur keluli dan bumbung baharu, pemasangan panel bumbung lutsinar serta bidai pengudaraan, selain penambahbaikan sistem saliran, elektrik dan pencahayaan.

“Turut disediakan ialah kipas gergasi, kemudahan mencuci dan perangkap minyak, 26 set meja dan tempat duduk serta papan tanda seragam bagi 12 gerai,” ujarnya  ketika meninjau Astaka Persiaran Gurney selepas kerja naik taraf selesai dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini tengah hari tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshue Woo Sze Zeng berkata, projek tersebut meneruskan kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan MBPP dalam menaik taraf kemudahan awam serta menyokong peniaga kecil di kawasan berkenaan.

Tambahnya, sebelum ini usaha sama itu turut merangkumi naik taraf Pasar Pulau Tikus dengan peruntukan RM500,000 kira-kira tiga tahun lalu serta penambahbaikan pusat makanan Kampung Sireh pada tahun lepas.

“Projek ini membuktikan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan mampu membawa manfaat langsung kepada rakyat, khususnya peniaga kecil,” katanya.

Difahamkan kompleks makanan tersebut yang dibina pada tahun 1985 tidak pernah dinaik taraf pada skala besar sebelum ini.