Kompleks pentadbiran MBSP kini dinamakan ‘Menara Bandaraya’

Admin

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff sendiri menyempurnakan acara penamaan Menara Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini pada lewat petang tadi.

Ketika berucap, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata pentadbirannya telah menyediakan Hala Tuju Strategik Seberang Perai yang mampan dan lestari untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

Justeru, katanya lagi, perubahan yang sedang diusahakan untuk rakyat teramai di Seberang Perai bukan sekadar penamaan kompleks pentadbiran ataupun sempena pemasyhuran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sebagai ‘bandar raya’.

“Kita (MBSP) ada kontrak sosial…kontrak sosial ini menandakan bermulanya era ‘Contemporary Society’ yang berpegang pada falsafah Seberang Perai Bandaraya Rendah Karbon dan Bandar Pintar Berpaksikan Rakyat,” jelasnya.

Rozali kemudiannya menyerahkan dokumen bertulis Hala Tuju Strategik Seberang Perai kepada Abdul Rahman, sejurus TYT menyempurnakan acara menandatangani plak pemasyhuran Menara Bandaraya atau City Tower.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus antara tetamu kenamaan paling utama yang menyertai acara bersejarah tersebut.

Berdasarkan Hala Tuju Strategik Seberang Perai, Rozali memberitahu MBSP menyasarkan untuk mengurangkan 50 peratus pelepasan karbon menjelang tahun 2022 iaitu pengurangan penghasilan karbon daripada 8.0 tan CO2e per kapita kepada 4.0 tan C02e per kapita.

“Selain itu, sasaran menjadi ‘carbon natural city’ pada tahun 2030, iaitu 10 tahun dari Januari 2020 dan menjadi ‘zero carbon city’ pada tahun 2050.

“MPSP juga komited untuk bersama-sama bandar raya lain di dunia untuk menangani perubahan cuaca supaya dapat mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah celcius,” jelasnya lagi.

Difahamkan, penamaan Menara Bandaraya MBSP dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 12 September 2019.

Menara berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Jalan Perda Utama berdiri gagah di atas tanah berkeluasan 10 ekar.

Tanah bangunan pentadbiran PBT itu dibeli daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan harga RM13,503,600 pada 5 November 2001.

Projek pembinaan Menara Bandaraya bermula pada 15 November 2002 dan siap pada 31 Disember 2005, dengan kos RM53 juta.

Mula beroperasi pada 2006, Menara Bandaraya terdiri daripada 16 tingkat, ketinggian 90.527 meter (m) dan keluasan keseluruhan 290,000 kaki persegi (kp).

Sebelum terbinanya Menara Bandaraya, operasi perkhidmatan PBT berkenaan di Jalan Dato’ Ahmad Said dan juga di Wisma UMNO Butterworth.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD