RAMAI mungkin mengenali Seri Delima sebagai sebuah kawasan perumahan yang tenang di tengah-tengah bandar raya.
Namun, Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) ini sebenarnya lebih luas dan berwarna-warni daripada yang disangka, meliputi kawasan seperti Island Glade, Island Park, Tun Sardon, Sungai Gelugor serta perbandaran baharu The Light yang kini sedang pesat membangun.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng, berkesempatan berkongsi kisah dan pandangan beliau sebagai wakil rakyat dalam satu sesi wawancara khas Coretan YB (Yang Behormat), yang dikongsikan kepada wartawan pelatih Buletin Mutiara, M. DANESWARAN dan jurugambar LAW SUUN TING.
Ketika ditemui, beliau menegaskan bahawa KADUN Seri Delima meliputi keluasan kira-kira lima kilometer persegi atau bersamaan dengan 700 padang bola.
“Di Seri Delima ini, boleh dikatakan kita mempunyai tiga ‘abundance’ atau kelebihan yang ketara seperti sebuah komuniti yang sangat majmuk, banyak taman rekreasi dan ramai warga emas yang aktif,” ujarnya memulakan bicara.
Mengulas mengenai struktur penduduk di kawasan tersebut, Hooi Peng memaklumkan bahawa komposisi penduduk terdiri daripada kira-kira 65 peratus kaum Cina, 25 peratus Melayu dan 10 peratus India.
“Kepelbagaian ini amat saya hargai kerana ia mencerminkan wajah sebenar masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” ujarnya lagi.


Taman komuniti terbanyak
Seri Delima merupakan kawasan yang memiliki jumlah taman komuniti terbanyak di Pulau Pinang, dengan 16 taman yang menawarkan kehijauan hampir di setiap sudut, keadaan ini menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi rekreasi yang ideal bagi penduduk pelbagai peringkat usia.
Sejurus memegang jawatan sebagai ADUN, Hooi Peng telah menumpukan perhatian untuk menambah baik kemudahan taman sedia ada serta mempromosikan sukan pickleball secara aktif dan percuma.
“Pada masa ini, terdapat tiga gelanggang pickleball di kawasan ini dan dua lagi akan ditambah menjelang hujung tahun.
“Saya sangat gembira melihat semakin ramai penduduk yang sebelum ini tidak bersenam mula keluar rumah dan ini menunjukkan bahawa mereka mula membentuk tabiat gaya hidup yang lebih sihat,” jelasnya.

Prihatin terhadap kesejahteraan warga emas, beliau turut memperkenalkan sukan “Ground Golf” yang berasal dari Jepun yang direka khusus agar sesuai disertai oleh golongan berusia.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan aktiviti ini menjadi antara yang paling digemari oleh warga emas di kawasan ini.
“Saya berharap dapat menghubungkan kesemua taman di kawasan ini pada masa akan datang bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selesa didiami dan mesra pengguna.
“Dalam pada itu, saya juga mempunyai hasrat untuk membina sebuah healing park di kawasan Seri Delima.

“Taman tersebut akan dihiasi tumbuhan aromatik dan herba, serta dilengkapi dengan slogan-slogan positif yang mampu memberi ketenangan jiwa dan minda kepada pengunjung.
“Saya juga aktif bekerjasama dengan pihak hospital untuk menganjurkan pelbagai program kesihatan masyarakat seperti pemeriksaan fizikal percuma, saringan tekanan darah dan ujian penglihatan.
“Saya juga memberikan tumpuan khusus kepada warga emas yang menghidap penyakit kronik seperti strok dan diabetes, dengan mengatur lawatan serta menyediakan bantuan yang diperlukan,” ulasnya lanjut.
Selain itu, program Jualan Rahmah MADANI yang diadakan secara bergilir sebanyak dua kali sebulan bersama dengan tujuh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Hooi Peng, sebagai salah satu inisiatif untuk meringankan beban kos sara hidup penduduk.
Projek pembangunan berskala besar
Hooi Peng turut berkongsi bahawa kawasan Seri Delima bakal menyaksikan beberapa projek pembangunan berskala besar yang menarik dalam masa terdekat, terutamanya di kawasan pembangunan baharu The Light.
Antara yang paling dinantikan ialah mercu tanda baharu Pulau Pinang pada masa hadapan iaitu pusat konvensyen dan pameran terbesar negeri ini, Muzium Seni Lim Siang Xiong dan pelbagai lagi projek berimpak tinggi yang bakal mengubah landskap kawasan berkenaan.
“Pembinaan dua stesen di transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara juga terletak dalam kawasan ini.
“Saya percaya apabila projek-projek infrastruktur utama ini siap kelak, ia akan memacu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di kawasan Seri Delima, tetapi juga negeri Pulau Pinang secara keseluruhan,” maklum beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek jalan pintasan dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu kini telah siap sebanyak 80 peratus.
Projek ini dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan daripada 15 minit kepada hanya sekitar lima hingga tujuh minit.
Sementara itu, kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf Kompleks Makanan Taman Tun Sardon bernilai RM3.3 juta kini sedang giat dijalankan dan dijangka mengambil masa selama 16 bulan.
Bangunan baharu yang berkonsepkan bangunan hijau itu bakal menyediakan kemudahan yang lebih moden dan selesa kepada 26 peniaga serta pengunjung.
Hooi Peng turut berkongsi bahawa setiap kali tiba musim perayaan, beliau akan memastikan suasana kawasan Seri Delima dihiasi dengan lampu berwarna-warni dan dekorasi yang ceria agar semangat perayaan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Kenangan manis
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kerumitan tugas sebagai wakil rakyat, Hooi Peng menyifatkan dirinya seperti seorang ‘doktor’ yang sentiasa mengambil ‘nadi’ rakyat dengan mendengar, memahami dan membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang dihadapi pengundi.

“Namun begitu, apa yang paling menyentuh hati saya bukan sekadar pencapaian kerja, tetapi kebaikan hati penduduk Seri Delima yang sentiasa memberi sokongan dan mencurahkan kasih sayang.
“Saya sangat terharu dengan kebaikan hati pengundi yang mana ada dalam mereka membawa teh herba, karipap panas, mochi, kuih-muih dan pelbagai juadah lain.
“Ia mungkin nampak kecil tetapi cukup bermakna bagi saya dan pasukan kerana kami rasa sangat dihargai,” katanya lagi.
Hooi Peng turut berkongsi bahawa antara kenangan paling manis dan kekal dalam ingatan beliau adalah tentang seorang warga emas yang amat istimewa, Madam Teh.

“Madam Teh bukan sahaja seorang warga emas yang aktif, tetapi beliau juga menjadi simbol kasih sayang komuniti.
“Saya masih ingat, dalam poster kempen saya dahulu, kami bergambar bersama dan beliau secara tidak rasmi menjadi ‘duta’ saya.
“Sokongannya amat saya hargai dan beliau sentiasa memberi semangat sejak hari pertama saya bertanding,” ujarnya sambil tersenyum mengenang momen tersebut.
Beliau menambah bahawa kisah-kisah kecil seperti itu yang terjalin antara dirinya dan para pengundi telah menjadi sumber kekuatan dan tenaga positif sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Mereka bukan sekadar pengundi, mereka lebih seperti keluarga saya dan ikatan kekeluargaan yang terjalin ini sangat istimewa serta tidak ternilai,” katanya, menutup bicara.