GEORGE TOWN – Bangunan ikonik Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), yang menjadi mercu tanda Pulau Pinang sejak siap dibina pada tahun 1985 bakal kembali menjadi tumpuan dengan penganjuran Karnival Komtar 2025 sempena sambutan ulang tahun ke-40 bangunan bersejarah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, KOMTAR bukan sahaja simbol kebanggaan negeri bahkan berfungsi sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta lokasi pelbagai program utama sejak dahulu lagi.
“Karnival terbesar yang pernah dianjurkan di sini adalah Karnival Komtar 2015, yang menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung.
“Pada asalnya, kita berharap untuk menjadikan Karnival Komtar sebagai acara tahunan, namun, terdapat beberapa faktor termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menghalang perancangan tersebut,” ujarnya semasa sesi sidang media pengumuman penganjuran program berkenaan di sini sebentar tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Khoo Boo Wooi; Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus Sdn. Bhd., Loi Kai Horng serta wakil-wakil daripada syarikat penganjur dan rakan kerjasama program antara yang turut serta dalam sidang media tersebut.
Mengulas lanjut, Lai Heng menyatakan bahawa pengunjung berpeluang melihat pameran gambar-gambar nostalgia KOMTAR dan model pembangunan asal kompleks tersebut yang jarang dipertontonkan kepada umum.
“Karnival Komtar 2025 dihidupkan semula sebagai tanda penghargaan terhadap sejarah empat dekad KOMTAR, di samping membuka lembaran baharu kepada pembangunan serta peranan kompleks itu dalam landskap negeri.
“Untuk makluman, karnival akan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Disember, dari 10 pagi hingga 8 malam, melibatkan ruang legar Tingkat 4 dan 5 KOMTAR, Tech Dome Penang serta beberapa lokasi lain di dalam kompleks.
“Di samping itu, saya juga ingin menyeru orang awam yang memiliki gambar lama, dokumen atau buku berkaitan sejarah KOMTAR supaya menghubungi Pusat Khidmat untuk meminjamkan bahan-bahan tersebut bagi dipamerkan sepanjang karnival berlangsung,” serunya.
Dalam pada itu, Lai Heng juga turut menggalakkan penyertaan orang ramai kerana ia dapat memperkaya pemahaman masyarakat terhadap sejarah bangunan KOMTAR.
“Sempena penganjuran ini, majlis perasmian dijadualkan pada 5 Disember (Jumaat), jam 11 pagi dan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
“Justeru, adalah diharapkan para peniaga dan pengusaha di KOMTAR dapat bekerjasama bagi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus memeriahkan penganjuran kali ini,” jelasnya lanjut.
Difahamkan, pelbagai pengisian aktiviti menarik turut disediakan, termasuk lawatan berjadual ke Tech Dome Penang, zon percubaan pistol gel blaster, pertandingan e-sukan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai program interaktif lain untuk seisi keluarga.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL