Kon Yeow seru pimpinan PH untuk sentiasa bersama bagi hadapi cabaran PRN

Admin

BAGAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyeru kepada semua barisan kepimpinan dalam parti komponen PH supaya terus bekerja keras dan sentiasa bersama-sama bagi menghadapi cabaran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata, pencapaian memberangsangkan ditunjukkan oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memerlukan PH untuk mengenal pasti segala kelemahan khususnya dalam memenangi hati pengundi-pemgundi baharu dan undi 18.

“Walaupun kerajaan perpaduan telah dibentuk tetapi kita tahu cabaran masih menanti terutamanya di tiga buah negeri yang ditadbir oleh PH iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang yang masih perlu menghadapi PRN dalam beberapa bulan lagi.

“Memandangkan pencapaian yang agak luar biasa PN khususnya parti PAS pada PRU15, kita perlu meneliti semula keputusan ini khasnya di Pulau Pinang bagi mengenal pasti kelemahan kita.

“Keadaan ini juga menyebabkan kita perlu mengambil tindakan yang sesuai dan tegas bagi memastikan kita mampu mengekalkan pemerintahan di tiga negeri PH khususnya di Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pimpinan dalam parti baik di peringkat negeri sehingga cawangan, ahli-ahli yang dilantik memegang pelbagai jawatan dalam Kerajaan Negeri mahupun Pusat supaya terus bekerja keras dan sentiasa bersama parti untuk menghadapi cabaran akan datang,” katanya semasa berucap pada Majlis Penghargaan Petugas dan Sukarelawan PRU15 Parlimen Bagan dekat Butterworth Arena, di sini sebentar tadi.

 

Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ramai lagi.

Kon Yeow menegaskan bahawa PH tidak boleh mengecilkan kekuatan parti lawan yang dilihat mampu mencabar pencapaian PH di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang yang dimenangi sebelum ini berdasarkan keputusan PRU15 lalu.

“Sebelum ini kita begitu yakin, dan sebenarnya rakyat juga lebih yakin bahawa kita (PH) akan mengekalkan tampuk pemerintahan di negeri Pulau Pinang.

“Namun begitu, kita juga tidak boleh kecilkan kekuatan parti lawan kerana mereka sudah membuktikan keupayaan dengan memperoleh undi yang mampu mencabar kedudukan kita di beberapa kawasan DUN di negeri ini.

“Keputusan PRU15 hanyalah satu permulaan dan kita perlu memastikan permulaan ini akan terus memihak kepada kita dan bukannya parti lawan,” tegasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang turut mengucapkan tahniah kepada Guan Eng kerana dipilih semula oleh pengundi-pengundi dalam kawasan Parlimen Bagan dalam PRU15 buat kali keempat.

“Ucapan penghargaan juga kepada semua petugas dan penyokong di kawasan Bagan khususnya pucuk pimpinan parti, wakil rakyat, Ahli Majlis bandaraya, Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang telah memberikan segala tenaga serta sumber di Bagan bagi mencapai kemenangan besar pada kali ini.

“Tahniah juga kepada pimpinan di peringkat kebangsaan kerana sepertimana yang diperjuangkan pada PRU15, kita akhirnya dapat mencapai matlamat walaupun tidak memenangi kerusi majoriti.

“Oleh kerana hakikat dan perubahan politik baharu, kita telah berjaya menerajui kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan gabungan parti-parti lain Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain parti yang sehaluan untuk melihat kerajaan perpaduan dibentuk bagi menstabilkan politik.

“Sekarang adalah masa untuk kita memulakan proses pemulihan politik, ekonomi serta menyatupadukan rakyat demi negara ini,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Guan Eng berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bagan dengan memperoleh jumlah undi tertinggi sebanyak 51,000 dalam persaingan empat penjuru