Kontrak semua ahli majlis PBT diperbaharui sehingga 30 Jun 2018 – Kon Yeow

SEBERANG JAYA – Pembaharuan kontrak semua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diperbaharui untuk sesi tahun 2018 sehingga 30 Jun tahun depan.

Menjawab soalan pemberita, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, tempoh pembaharuan kontrak mengambil kira ura-ura Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa tahun depan.

“Semua ahli majlis sedia ada kekal, kontrak mereka diperbaharui untuk tempoh perjawatan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2018 sahaja, melainkan ada mana-mana ahli majlis berhasrat untuk tidak menerima pelantikan mereka,” responsnya sambil memberitahu bahawa pengumuman tersebut adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang di Komtar baru-baru ini.