Bukit Bendera kembali beroperasi, KM rakam penghargaan kepada pihak berwajib

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Pusat peranginan bukit terkemuka di Asia, Bukit Bendera kini kembali dibuka kepada umum. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan sedemikian setelah ia ditutup selama dua bulan rentetan bencana ribut serta banjir terburuk awal November lalu.

“Saya berasa bangga kerana Penang Hill Corporation (Perbadanan Bukit Bendera, PHC) telah dapat pulihkan semula perkhidmatan (furnikular) dan urus semula pengoperasian di Bukit Bendera.

“Syabas kepada pasukan PHC yang berusaha gigih melampaui jangkaan dalam memastikan Bukit Bendera dipulihkan semula dalam waktu yang singkat.

“(Dan) semestinya kejayaan PHC tidak dilakukan secara bersendirian tanpa bantuan pelbagai agensi seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), PBA (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang), TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, penduduk dan peniaga di Bukit Bendera serta para sukarelawan…terima kasih atas sumbangan anda,” ucapnya pada majlis pengoperasian semula perkhidmatan furnikular di sini 30 Disember lalu.

Hadir sama, Pengurus Besar PHC, Cheok Lay Leng; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; jawatankuasa PHC dan The Habitat Penang Hill.

Dalam pada itu, Guan Eng turut memaklumkan bahawa kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bendera telah pulih sepenuhnya.

“Walau bagaimanapun, ada kawasan tertentu seperti kediaman persendirian dan laluan mendaki yang masih tutup dan belum pulih sepenuhnya…tetapi kawasan pelancong 100 peratus siap…itu jaminan kerana Kerajaan Negeri telah menetapkan syarat agar kawasan pelancong disiapkan dahulu.

“(Dan) pastinya dalam tempoh dua bulan penutupan Bukit Bendera, pihak pengurusan kurang menerima pendapatan sehingga anggaran RM5 juta.

“Meskipun ada pihak yang menjangkakan Bukit Bendera hanya akan dibuka dalam tempoh 12 hingga 18 bulan, tetapi kerana kepakaran dan bantuan jurutera yang hebat, ia (Bukit Bendera) dapat dipulihkan semula.

“Jadi saya harap dengan pembukaan semula ini, pihak-pihak tertentu dapatlah hentikan khabar angin…Bukit Bendera telah dibuka dan beroperasi seperti biasa…datanglah untuk beriadah seperti biasa,” katanya yang turut berbangga apabila The Guardian UK turut menyenaraikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan berprestij di Asia.

Sebagai rekod, pengoperasian Bukit Bendera termasuk perkhidmatan furnikular, laluan pendakian dan laluan pacuan empat roda di Taman Botani terpaksa dihentikan selepas terjadinya 194 kejadian tanah runtuh berikutan bencana ribut dan banjir paling buruk dalam sejarah pada 4 dan 5 November lalu.