Kontraktor Gurney Bay perlu bertanggungjawab jika sahih rumah penduduk retak akibat projek, respons Ketua Menteri

e76486c9 73e9 4a63 8dc3 70f0834cbbab KETUA Menteri memberi respons sedemikian kepada pemberita seusai merasmikan Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini pada 21 November 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan memastikan kontraktor berkenaan mengambil tanggungjawab jika projek Gurney Bay yang dilaksanakan telah mengakibatkan kerosakan struktur rumah penduduk sekitar kawasan pembangunan.

Kon Yeow menyatakan sedemikian ketika diminta mengulas isu 15 hingga 20 penduduk Kampung Bagan Jermal dekat Tanjung Tokong, dilaporkan melahirkan perasaan resah apabila surau serta rumah di perkampungan mereka kerap dilanda banjir kilat serta kediaman retak dipercayai berpunca daripada kerja tambakan laut di kawasan berhampiran.

“Perkara itu dibangkitkan oleh wakil penduduk, (yang mana) mereka sudah hantar surat bantahan.

“Sekiranya (keretakan) disebabkan oleh kerja-kerja (tanah di Gurney Drive itu), kita akan mendapatkan kontraktor berkenaan untuk memikul tanggungjawab bagi membaiki (rumah-rumah penduduk berkenaan), dan memastikan kerosakan tersebut tidak bertambah buruk lagi,” responsnya kepada pemberita seusai merasmikan Majlis Penghargaan Profesional Akademik dan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang & Kehormatan Negeri Pulau Pinang di sini pada 21 November 2025.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memberitahu bahawa bantahan daripada penduduk berkenaan telah dipanjangkan kepada Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari untuk tindakan susulan.

“Bantahan ini telah diambil maklum oleh YB Zairil selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi projek pembangunan di sana,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Terdahulu, sebuah portal berita arus perdana melaporkan beberapa penduduk dan wakil persatuan penduduk berkenaan mendakwa kediaman mereka retak serta perkampungan mereka seringkali dilanda banjir kilat, yang dipercayai berpunca daripada projek pembangunan Gurney Bay sejak Februari tahun lalu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT