Kreatif warna tanglung tawar hadiah lebih RM500

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN

PULAU TIKUS – Seramai 60 kanak-kanak berusia dari lima tahun hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam Pertandingan Mewarna Lantera atau Tanglung sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh yang juga dikenali sebagai Mid Autumn Festival di ruang legar sebuah pusat membeli-belah di sini baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Sireh tersebut menyaksikan Lee Zee H’ng, 11, mengungguli pertandingan tersebut dengan membawa pulang wang tunai RM500 dan baucar tunai dari Home’s Harmony bernilai RM250.

Tempat kedua dimenangi, Phoon Zi Hui, 12, dan ketiga, Oliver Hojbjerb, 11, masingmasing membawa pulang wang tunai RM400 dan RM300 berserta baucar tunai dari Home’s Harmony bernilai RM250.Turut menerima hadiah wang tunai dan baucar adalah tujuh pemenang terpilih lain.

Pertandingan berkenaan diadili Pengurus Pemasaran Gurney Plaza, Peter Chin, Emi Yamazaki dari Pink Hibiscus Club dan Felix Chuah (Equator Academy of Art).

Turut sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan dua Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Chris Chun Kit Lee dan Haris Zuan.