Kualiti pembangunan pendidikan jana modal insan bertaraf global

PERTAMA-TAMANYA, izinkan saya menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena pembukaan Penggal Parlimen ke-13 pada hari Selasa yang lepas. Saya berasa amat bersyukur kerana buat julung kali diberi peluang untuk mewakili rakyat Bukit Bendera di dewan yang mulia ini. Pada masa yang sama, saya juga amat bangga kerana dapat meneruskan warisan perjuangan arwah ayahanda saya demi negara tercinta.

Institusi pengajian tinggi Tuan Yang Dipertua, saya menyambut baik titah Tuanku yang dengan jelas memberi penekanan yang besar kepada isu yang amat penting, iaitu soal pendidikan dan pembangunan modal insan di negara kita. Jelas, kita perlu memberi keprihatinan yang wajar untuk memastikan peningkatan kualiti Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

Menurut Program Transformasi Ekonomi (ETP), menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi hab pendidikan serantau dengan anggaran enrolmen pelajar asing di IPTA dan IPTS seramai 200,000 orang.  Dianggarkan pula 50 peratus rakyat Malaysia lulusan SPM dan SPMV yang berada dalam kalangan usia 17–23 tahun akan menyertai peringkat pengajian tinggi, sementara 33 peratus daripada tenaga kerja akan berkelayakan pendidikan tinggi khususnya dalam bidang yang berkait dengan sains dan teknologi.

Maka jelas sekali, pengajian inggi memainkan peranan kritikal dalam pembangunan negara.  Malangnya, dalam keghairahan Kementerian Pendidikan menggunakan istilah tranformasi dan pengantarabangsaan, statistik prestasi IPTA dan IPTS negara kelihatan indah khabar daripada rupa.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengumumkan Universiti Sains Malaysia (USM)di Pulau Pinang sebagai perintis program Accelerated Programme for Excellence (APEX) yang menyasarkan untuk menjadikan USM antara universiti terbaik di dunia. Pun begitu, berdasarkan QS World University Rankings semenjak tahun 2007, kedudukan USM terus merosot daripada 307 pada tahun 2007 kepada 326 pada tahun 2012. Malah, USM dan semua universiti di Malaysia gagal tersenarai dalam 400 universiti terbaik di dunia berdasarkan penarafan TimesHigher Education (THE) sesi 2011/2012. Semakan QS University Rankings: Asia – 2012 pula menunjukkan hanya
Universiti Malaya yang disenaraikan antara 50 universiti terbaik di Asia (tangga ke-35).

Adakah ini hasil program Universiti Apex? Apakah Kementerian Pendidikan akan terus berselindung di sebalik alasan perbezaan antara sistem yang digunakan dalam negara kita dengan sistem penarafan dan kriteria penilaian universiti di peringkat antarabangsa?

Yang jelas, sistem pengajian tinggi dan lingkungan akademia yang sedia ada tidak mampu untuk menghasilkan pensyarah  dan mahasiswa bertaraf antarabangsa. Manakan bisa, sedangkan golongan akademia dan mahasiswa kini ditindas dan dikongkong dengan ketat?

Kita harus sedar bahawa yang menjadikan sebuah universiti itu hebat adalah modal insannya dan bukan sekadar nombor ISO-nya. Kita sekarang dalam kemelut hanya berfungsi sebagai kilang ijazah serta “agensi pelawat asing bertauliah” yang membawa masuk warga asing yang kononya datang belajar tetapi sebenarnya tidak. Malah ada di antara mereka yang menjadi dalang tipu helah yang memangsakan rakyat Malaysia. Dalam menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa,kita perlu menggalakkan “brain gain” dan bukan “con-game”.

Maka, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini untuk memikirkan semula cadangan agar warga akademi (termasuk mahasiswa) diberikan suara yang lebih dominan dalam pemilihan jawatan Naib Canselor sebagaimana yang diamalkan oleh banyak universiti yang terkemuka di dunia. Tujuannya adalah untuk menangkis persepsi bahawa perlantikan Naib Canselor dibuat berdasarkan kecenderungan politik dan bukannya kemampuan pentadbiran, ketinggian kesarjanaan, serta jaringan akademik antarabangsa.

Berkenaan isu IPTS pula, saya menyambut baik tindakan Kementerian Pendidikan (ketika itu Kementerian Pengajian Tinggi) melaksanakan moratorium atau pembekuan terhadap permohonan baru IPTS pada awal tahun ini. Namun, saya begitu khuatir dengan kualiti serta pemantauan IPTS sedia ada. Berdasarkan statistik, sehingga 30 November 2012, terdapat 37 buah universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan sebanyak 414 kolej swasta di negara ini. Menteri bertanggungjawab ketika itu, Dato’ Seri Khaled Nordin sendiri mengakui bahawa terdapat tandatanda menunjukkan bahawa jumlah graduan yang dikeluarkan oleh IPT adalah melebihi kehendak pasaran.

Siswazah daripada kolej swasta ini berlaku kerana orientasi pengajian tinggi swasta yang berteraskan keuntungan dan mengabaikan kualiti. Hal ini terbukti apabila Kementerian sendiri terpaksa menarik balik beberapa kelulusan kolej swasta yang meragukan.

Sudah tentu, fenomena lambakan siswazah daripada kolej kerana penyalahgunaan skim pinjaman Perbadanan TabungPendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Akibatnya, ramai pelajar dengan keputusan paling minimum (lulus SPM dengan 1 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan 3 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus diploma) diterima masuk sementara pinjaman PTPTN mereka diuruskan terus oleh pihak kolej.

Jelas, PTPTN digunakan untuk membolehkan pihak berkepentingan untuk menjadikan pengajian tinggi sebagai suatu perniagaan mengaut keuntungan semata-mata. Apa tidaknya, apabila semua program di kolej swasta yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus layak mendapat PTPTN. Jadi, PTPTN ini sebenarnya membantu kolej swasta dan bukan mahasiswa. Daripada mempertingkatkan persaingan dan kecemerlangan, sistem ini menggalakkan kronisme dan mediokriti.

Kenyataan ini disokong dengan statistik daripada Kementerian Pengajian Tinggi (kini Kementerian Pendidikan) yang menunjukkan bahawa bilangan staf akademik IPTS pada tahun 2010 yang berkelulusan PhD hanyalah 2,449 orang. Kebanyakan staf akademik IPTS terdiri daripada lulusan Sarjana (14,344 orang), Sarjana Muda (11,228 orang), Diploma (1,271 orang) dan lain-lain kelulusan (3,700). Saya yakin, jika perangkaan ini diperincikan lagi untuk kolej swasta, bilangan lulusan Sarjana dan PhD akan lebih jauh berkurang. Persoalannya, apakah bilangan tenaga pengajar ini memadai untuk menjamin pendidikan tinggi berkualiti untuk 465,700 orang pelajar yang mendaftar dengan IPTS seluruh negara pada tahun yang sama?

Saya benar-benar khuatir akan masa depan anak bangsa Malaysia yang terpaksa memikul bukan sahaja beban hutang PTPTN tetapi seumpama ditipu dengan janji manis, iaitu ijazah yang sebenarnya tidak laku. Bayangkan, mimpi indah mahasiswa berkecai dan ditambah pula dengan hutang yang tidak mampu dibayar.

Saya menggesa agar kerajaan mempertimbangkan cadangan menstrukturkan semula pembiayaan pengajian tinggi dengan menghapuskan skim PTPTN dan diganti dengan pendidikan percuma. Namun, tindakan ini mesti disusuli dengan usaha membaiki prestasi dan kualiti IPT agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja berada dalam IPTA, manakala mereka yang berkemampuan boleh memilih untuk ke IPTS yang dijamin kualitinya.

Sehubungan dengan itu, antara langkah kritikal yang harus diambil oleh kerajaan adalah untuk mengembalikan kuasa autonomi sepenuhnya kepada IPTA dan IPTS serta  memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), seperti yang pernah dinikmati oleh universitiuniversiti sehingga tahun 1971.

Sebelum itu, pada zaman 60-an, demonstrasi dan bantahan terhadap Kerajaan dan Menteri Pelajaran adalah lumrah kehidupan mahasiswa, malah sering dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang sendiri, namun mahasiswa tidak dikenakan tindakan sehinggalah penggubalan undang-undang drakonian oleh Menteri Pelajaran yang kemudiannya. Hari ini, kongkongan akademia dan pemangsaan mahasiswa masih lagi berterusan melalui AUKU dan undang-undang yang seangkatan dengannya.

Oleh itu, alam pengajian tinggi haru  dibebaskan dan dikembalikan ke suasana pra- 1971 di mana para ilmuan menikmati kebebasan akademia, siswa-siswi. diberi ruang untuk meluahkan buah fikiran mereka, dan di mana Kementerian diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang jauh lebih berwibawa berbanding yang ada sekarang.