Kualiti penurapan jalan kawasan pembinaan LRT Mutiara perlu diberi perhatian – ADUN

0f534b82 51b5 407d 848f a209df0a15c6

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri dan pihak bertanggungjawab perlu memastikan kerja-kerja penurapan jalan di kawasan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dilaksanakan mengikut piawaian ditetapkan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menegaskan bahawa sokongan terhadap pembangunan projek pengangkutan awam berkenaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berkompromi dengan kualiti pelaksanaan, khususnya melibatkan keadaan jalan yang tidak rata dan kurang memuaskan di kawasan kerja.

“Kesesakan dan lencongan jalan boleh diterima sebagai kesan sementara pembinaan, namun kerosakan serta mutu penurapan yang tidak berkualiti mencerminkan kelemahan pemantauan dan perlu ditangani dengan tindakan sewajarnya.

“Rakyat boleh menerima kesulitan sementara demi pembangunan, tetapi rakyat tidak boleh dipaksa berkompromi dengan kerja yang tidak berkualiti.

“Nilai sesuatu pembangunan bukan terletak pada kos atau skalanya, sebaliknya pada kualiti hasil yang diserahkan kepada rakyat,” ujarnya ketika sesi perbahasan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, di sini petang tadi.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan berkaitan tanggungjawab pemantauan, pengesahan teknikal oleh jurutera bertauliah, kos pembaikan sekiranya berlaku kegagalan turapan serta tempoh jaminan mutu kerja yang dikenakan terhadap kontraktor.

“Saya ingin meminta penjelasan mengenai jumlah aduan kerosakan jalan yang diterima, kadar penyelesaian aduan serta tindakan penguatkuasaan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Walaupun MRT Corp telah menyediakan saluran aduan 24 jam susulan risiko kerosakan jalan akibat pergerakan kenderaan pembinaan berat, keberkesanan pemantauan dan tindakan pembaikan perlu dipastikan.

“Jangan sampai kontraktor menikmati keuntungan, rakyat menanggung kerosakan dan wang awam menjadi taruhan.

“Setiap projek mesti diselia dengan teliti serta dipertanggungjawabkan demi kepentingan rakyat,” ulasnya lanjut.

Tambahnya lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab meluluskan projek, malah perlu memastikan setiap pelaksanaannya memenuhi standard kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Projek mega mesti menghasilkan mutu kerja bertaraf mega, bukannya mewariskan masalah mega kepada rakyat.

“Wang rakyat bukan sekadar angka dalam lejar kerajaan, sebaliknya amanah yang wajib dipertanggungjawabkan,” katanya.