Kumpulan pertama peniaga, penjaja terima vaksin hari ini

SEBERANG JAYA – Kumpulan pertama daripada 1,353 peniaga dan penjaja yang berdaftar melalui Program Vaksin Peniaga Seberang Perai hari ini akan divaksinkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena dekat sini.

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa kesemua 1,353 peniaga dan penjaja yang berdaftar itu akan divaksinkan secara berperingkat.

 

“Program Vaksin Peniaga ini dilancarkan pada 4 Ogos lalu setelah hasil Kajian Penilaian dan Penentuan Risiko yang dijalankan oleh MBSP mendapati, pasar merupakan kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

 

“Alhamdulillah kumpulan pertama daripada peniaga yang berdaftar telah diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan divaksin mulai hari ini secara berperingkat,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Korporat Bandaraya Bil.2/2021 yang diadakan secara maya menerusi siaran langsung di Facebook pada 16 Ogos 2021.

 

ANTARA kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai yang menghadiri Perhimpunan Korporat Bandaraya Bil. 2/2021 sebentar tadi.

 

Turut serta ialah Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan MBSP; Pengerusi-pengerusi persatuan di MBSP serta kakitangan MBSP dan ‘Wira Oren’.

 

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa Program Vaksin Peniaga merupakan sebahagian daripada 18 tindakan pelan kontingensi yang diaktifkan beliau pada 10 Ogos 2021 bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di samping menjaga keselamatan, kesihatan pekerja serta memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

 

Situasi jangkitan COVID-19 yang melibatkan kakitangan MBSP semakin membimbangkan dan sehingga 14 Ogos lalu, 100 kes positif masih aktif, 109 telah sembuh dan tiga kematian.

 

“Oleh itu, MBSP mengambil langkah proaktif dengan mengadakan Penilaian dan Penentuan Risiko berdasarkan enam kriteria iaitu kadar peningkatan kes baharu; taburan kes positif; kepadatan tempat bertugas; perkongsian peralatan kerja; pembersihan rutin secara kendiri dan budaya berkumpul terutama pekerja di lapangan,” jelasnya yang turut bimbang apabila hampir keseluruhan Seberang Perai berada dalam zon merah kecuali di Pulau Aman. yang masih hijau.

 

Sejajar dengan kriteria Penilaian dan Penentuan Risiko, Rozali memaklumkan salah satu inisiatif baharu yang terkandung dalam pelan kontingensi adalah pemberian sumbangan kepada kakitangan MBSP yang disahkan positif.

 

Sumbangan bernilai RM150 ini adalah yang pertama kali diwujudkan demi menjaga kebajikan kakitangan di MBSP sekali gus mengurangkan beban kakitangan tersebut.

 

“Saya telah menyeru kepada semua Ketua Jabatan dan penyelia supaya mengambil berat dan sering berkomunikasi dengan pekerja yang positif COVID-19 atau keluarga mereka bagi menentukan apa sahaja bentuk bantuan keperluan asas yang diperlukan,” katanya.

 

SR. Rozali Mohamud ketika menyampaikan ucaptama pada pagi ini.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali turut mengulas mengenai kemudahan sektor ekonomi yang diumumkan melalui kenyataan media oleh Perdana Menteri semalam.

 

Menurut Rozali lagi, kemudahan sektor ekonomi yang disenaraikan itu masih tidak boleh dikuatkuasakan di Pulau Pinang walaupun negeri ini telah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

“Ini kerana, kemudahan tersebut akan terpakai dengan syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri ini mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

 

(Dan) di Pulau Pinang kini hanya 36 peratus telah menerima vaksinasi lengkap, masih berbaki 14 peratus.

 

“Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua rakyat Pulau Pinang terutama warga Seberang Perai supaya daftar diri untuk terima vaksin, janganlah pentingkan diri sendiri.

 

“Jangan gadaikan keselamatan awam hanya dengan pemikiran yang sempit,” katanya. 

 

 

Dalam perhimpunan sama, Rozali turut berucap sempena Majlis Jasamu Dikenang yang mana Pengarah di Jabatan Undang-Undang MBSP, Rosnada Abu Hassan bakal bersara mulai esok setelah 35 tahun berkhidmat.

 

Sila layari Facebook Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk perincian lanjut berhubung 18 tindakan pelan kontingensi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MBSP & DARWINA MOHD. DAUD