Kunjungan hormat Panglima Armada Barat TLDM bincang penganjuran ANCM 2025

Admin
whatsapp image 2025 08 07 at 15.19.56 (1)

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Baharuddin Wan Md. Nor bertempat di Komtar.

Turut sama, Panglima Wilayah Laut 3 TLDM, Laksamana Pertama Mohd. Norizal Fahrudin dan Pegawai Wakil Tentera Laut Pulau Pinang, Leftenan Komander Muhamad Fadhil Samsuddin.

Dalam pertemuan tersebut, perbincangan tertumpu pada penganjuran ASEAN Navy Chiefs’ Meeting (ANCM) 2025 melibatkan negara-negara Asia Tenggara yang mana Pulau Pinang bakal menjadi ‘tuan rumah’ pada penganjuran kali ini.

Selain itu, menurut Baharuddin, turut diadakan adalah ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) bersekali dengan penganjuran Hari Buletin di Padang Kota Lama pada 17 Ogos ini serta ASEAN Fleet Review (21 Ogos 2025), yang mana kedua-duanya Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib akan hadir sebagai tetamu kehormat termasuk latihan ketenteraan, ASEAN Multilateral Naval Exercise selepas itu.

Mengambil kesempatan sama, Baharuddin menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri atas kerjasama simbiotik dalam menjayakan penganjuran berkaitan.

Beliau juga mempelawa Kon Yeow untuk melawat aset-aset armada laut pada penganjuran berkaitan nanti.

Difahamkan, ini merupakan pertemuan rasmi pertama Baharuddin selaku Panglima Armada Barat yang baharu dan Mohd. Norizal sebagai Panglima Wilayah Laut 3 TLDM.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN