Kunjungan hormat perkukuh kerjasama pembangunan Sains, Teknologi Negara – Menteri

Admin
4e924f2e e711 406f a7c7 2da1b3727b25 KETUA Menteri (kiri) menyampaikan cenderamata seusai menerima kunjungan hormat Chang Lih Kang di pejabatnya, Komtar sebentar tadi.

GEORGE TOWN – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra tersebut bertujuan untuk memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam memacu agenda sains, teknologi dan inovasi (STI).

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo serta Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. K. Nagulendran.

Bercakap kepada media selepas pertemuan tersebut, Lih Kang menyifatkan perbincangan bersama-sama Ketua Menteri sebagai sangat positif dan produktif.

“Satu perjumpaan yang sangat mesra memandangkan saya dan Y.A.B. Ketua Menteri memang mempunyai hubungan yang rapat.

“Walaupun masa agak suntuk, kami sempat berbincang mengenai beberapa perkara yang bukan sahaja bakal membawa pembangunan kepada Pulau Pinang, malah memberi manfaat kepada pembangunan sains dan teknologi di peringkat nasional,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, Perak.

Tambah Lih Kang, beliau berasa amat gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan inisiatif teknologi terus menjadi pemacu ekonomi utama.

Pulau Pinang yang sering digelar sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, menurut beliau, wajar terus menjadi rakan strategik utama bagi MOSTI dalam melaksanakan pelbagai dasar inovasi negara, termasuk dalam sektor semikonduktor dan ekonomi digital.

Terdahulu, rombongan MOSTI meluangkan masa hampir sejam bagi membincangkan hal-hal berkaitan kerjasama teknikal dan pemerkasaan modal insan sebelum beredar untuk program seterusnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING