Kurangkan penggunaan air – KM

Admin

GEORGE TOWN – Keutamaan Kerajaan Negeri adalah bagi mengelakkan pelaksanaan sebarang catuan air di sini,’’ tegas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, dalam tempoh enam tahun sebelum ini, fokus diberikan terhadap pengurusan bekalan air bagi memenuhi permintaan pertambahan populasi, pembangunan dan projek pelaburan di Pulau Pinang.

“Ini dibuktikan melalui pendapatan bukan keuntungan air negeri berjumlah 17.6 peratus iaitu terendah (dalam negara) berbanding purata nasional, 36.4 peratus.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan serta pertambahan populasi di Pulau Pinang pada tempoh enam tahun ini adalah lebih banyak berbanding 18 tahun sebelum ini. Ini terbukti apabila negeri (Pulau Pinang) muncul sebagai lokasi pilihan para pelabur dengan catatan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara untuk tempoh 2010 hingga Ogos 2013.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan cuba elak kerana sebarang inisiatif catuan air bukan hanya membawa kesusahan kepada para penduduk, malah juga komuniti perniagaan di negeri ini,’’ katanya mengulas lanjut berhubung isu kenaikkan tarif air pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Ir. Jaseni Maidinsa.

Kini, tarif air di Pulau Pinang adalah terendah dalam negara iaitu 31 sen untuk 35,000 liter pertama.

Pada tahun 2013, penggunaan air di Pulau Pinang adalah yang tertinggi dengan catatan 295 liter per kapita sehari (l/c/d) di Malaysia.

Bagi dua bulan pertama tahun ini (2014), jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada 311 l/c/d.

Angka tersebut merupakan lebihan 46.7 peratus daripada jumlah purata penggunaan air nasional sebanyak 212 l/c/d.

Guan Eng yang juga Pengerusi PBAPP memberitahu, kenaikkan tarif air adalah sebagai usaha mengurangkan penggunaan air secara berlebihan dan menggalakkan para pengguna supaya berjimat-cermat.

Bagaimanapun, tambah beliau, walaupun dinaikkan, tarif air (baru) masih lagi terendah dalam negara (Malaysia).

“Penggunaan air yang tinggi di negeri ini sekiranya dibiarkan akan menyebabkan Kerajaan Negeri tiada jalan lain selain melaksanakan inisiatif catuan air.

“Kita mesti ingat bahawa prospek untuk fenomena musim kemarau adalah amat nyata dengan jangkaan daripada ASEAN Specialised Meteorological Centre in Singapore bahawa pada tempoh bulan April hingga Mei, negara-negara ASEAN akan menerima kurang hujan dan musim kering, antara Jun hingga Oktober tahun ini.

“Juga kita mesti ingat bahawa kini, Selangor dan Johor telah menjalankan catuan air dan Taiping, Perak iaitu negeri paling lembab di Semanjung Malaysia juga telah memulakan proses sama,’’ jelasnya.

Tambah Guan Eng, bagi mengekalkan kadar domestik tarif air terendah iaitu 31 sen bagi penggunaan 35,000 liter pertama, subsidi ditanggung PBAPP pada tahun lalu adalah hampir mencecah RM70 juta. Harga 31 sen tersebut merupakan lebih daripada separuh nilai purata nasional berjumlah 66 sen dengan paling mahal adalah di Johor, 105 sen.

“Kerajaan Negeri dipaksa mengambil langkah menaikkan tarif air demi masa depan anak-anak kita dengan memaksa para konsumer kini supaya mengurangkan penggunaan air agar generasi masa depan mempunyai peluang lebih tinggi mengelakkan catuan air,’’ tegas beliau.