ZPP terima RM1.9 juta zakat perniagaan TH

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima sejumlah RM1,879,454.50 daripada Lembaga Tabung Haji (TH) Pulau Pinang sebagai pembayaran zakat perniagaannya bagi tahun 2013 di sini baru-baru ini.

Pembayaran tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TH, Datuk Rozaida Omar kepada Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pada sebuah majlis ringkas di Seri Mutiara di sini.

Menurut Rozaida, pembayaran zakat tersebut merupakan tanggungjawab TH sebagaimana disyariatkan dalam Islam, selain memperlihatkan keprihatinannya sebagai sebuah institusi Islam ikonik negara dalam melestarikan ekonomi ummah khususnya golongan asnaf.

Tambah beliau, pembayaran zakat pada kali ini meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun 2012 dan jumlah yang akan dibayar kepada keseluruhan negeri di Malaysia adalah sebanyak RM46.29 juta.

“Peningkatan ini adalah sejajar dengan prestasi pendapatan keseluruhan TH yang memberangsangkan bagi tahun 2013,” katanya pada majlis berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna), Datuk Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP), Azman Abdul Samat (Pengurus Besar ZPP) dan Muhamad Hamdan Omar (Pengarah TH Negeri Pulau Pinang).

Selain pembayaran kepada pusat-pusat zakat, TH turut mengagihkan zakatnya secara terus kepada golongan asnaf di seluruh negara melalui program tanggungjawab sosial korporat seperti Program Ehsan, Program Iqra’ dan Program Baiti.

Pulau Pinang merupakan negeri ketujuh dalam siri jelajah penyerahan zakat perniagaan TH pada tahun ini.

Pengagihan zakat TH yang diterima oleh negeri ini pada tahun 2012 adalah sebanyak RM1,684,247.35 dan RM1,611,467.00 (2011).