Kutipan cukai taksiran MBSP bagi tempoh promosi penggal kedua cecah RM56.99 juta – Datuk Bandar

Admin

SEBERANG JAYA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pihaknya berjaya mengutip cukai taksiran berjumlah RM56.99 juta bagi tempoh promosi cukai taksiran penggal kedua tahun ini.

Menurutnya, jumlah tersebut adalah melebihi sasaran yang ditetapkan MBSP iaitu sebanyak RM40 juta.

“MBSP mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga Seberang Perai yang menunaikan tanggungjawab membayar cukai taksiran.

“Program ini diadakan mulai 1 Julai sehingga 31 Ogos 2019 bersempena dengan pengisytiharan Seberang Perai sebagai bandar raya,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP, di sini, pagi tadi.

20 nama pemenang bagi menghadiri Majlis Cabutan Bertuah Pemenang Promosi Cukai Taksiran Penggal Kedua 2019 diumumkan selepas selesai Mesyuarat Majlis Penuh pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan serta barisan pegawai MBSP.

Dalam pada itu, sejurus mesyuarat, Rozali mengumumkan 20 nama pemenang bagi menghadiri Majlis Cabutan Bertuah Pemenang Promosi Cukai Taksiran Penggal Kedua 2019 yang bakal diadakan pada bulan Oktober nanti.

Senarai pemenang juga boleh disemak melalui laman web MBSP iaitu di www.mpsp.gov.my mulai 1 Oktober ini.

Difahamkan, MBSP menyediakan sebanyak 15 hadiah bagi kategori bayaran secara online, bank, dan agensi yang mana tempat pertama hingga kelima akan menerima wang tunai berjumlah RM1,000 dan selebihnya adalah telefon pintar, barangan elektrik serta perkakasan rumah.

Selain itu, sebanyak lima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM200 setiap satu disediakan bagi kategori bayaran di kaunter.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD