Kutipan sampah kelolaan MPSP sentiasa ikut jadual – YDP

Oleh : DARWINA MOHD. DAUD
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyatakan bahawa masalah lambakan sampah di Taman Anggerik, Kampung Banggali, Taman Tenggiri dan Jalan Bunga Tanjung 7 di sini adalah di bawah kelolaan agensi persekutuan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan beberapa akhbar yang mendakwa bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan tidak mengutip sampah di kawasan-kawasan tersebut mengikut jadual berwajib.

“Di sini, kita (MPSP) memang tidak boleh berbuat apa-apa dan kita (MPSP) sudah pun memaklumkan dan merujuk kepada JKR Persekutuan supaya meminta kontraktor mereka membersihkan kawasan tersebut kerana tempat ini adalah kelolaannya.

“Sebaliknya, kutipan sampah di bawah kelolaan MPSP adalah sentiasa mengikut jadual ditetapkan iaitu Jadual A, kutipan rumah ke rumah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala Jadual B (Selasa, Khamis dan Sabtu) dan Jadual C (tong komunal yang akan dikutip setiap hari),” katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Pengarah Perkhidmatan Perbendaharaan MPSP, Puad Hamid dan tiga Ahli Majlis MPSP, Tan Cheong Heng, Tan Chong Hee dan Loh Joo Huat.

Menyentuh mengenai dakwaan bahawa kedudukan tong komunal yang ditempatkan di kawasan tidak sesuai, Maimunah memberitahu bahawa ia adalah mengikut standard operating procedure (SOP) yang telah ditetapkan.

“Penempatan tong komunal harus memperoleh persetujuan tiga pihak iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK), penduduk sekitar dan Ahli Majlis sebelum ia ditempatkan di sesebuah lokasi.

“Sebagai makluman, tong komunal ditempatkan di laluan-laluan utama di kawasan kampung bagi memudahkan penduduk membuang sampah secara kelompok kerana kenderaan mengangkut sampah MPSP yang agak besar adalah tidak mampu memasuki lorong-lorong kecil seluruh kampung untuk membuat kutipan sampah,” jelas beliau.

Berhubung dakwaan bahawa terdapat tong komunal yang diterbalikkan, Maimunah memberitahu bahawa, tong berkenaan adalah yang telah rosak dan diterbalik bagi mengelak air bertakung seterusnya menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);