Kutipan zakat MAINPP hampiri RM200 juta, bukti keyakinan umat Islam Pulau Pinang

Admin
fb img 1762174465983

GEORGE TOWN – Kutipan zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencatat pencapaian memberangsangkan apabila menghampiri sasaran RM200 juta bagi tahun 2025, sekali gus mengatasi kutipan tahun sebelumnya berjumlah RM172.8 juta.

 

 

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, peningkatan lebih 10 peratus itu membuktikan tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat Islam terhadap integriti serta tadbir urus MAINPP dan Zakat MAINPP.

 

 

Menurut beliau, sehingga menjelang tahun baharu 2026, jumlah kutipan zakat yang direkodkan adalah sebanyak RM196,544,658.34, merangkumi zakat harta berjumlah RM187,652,658.26 dan zakat fitrah sebanyak RM8,891,680.08.

 

 

Jumlah sebenar dijangka melepasi sasaran RM200 juta selepas proses penyelarasan akaun diselesaikan dalam tempoh dua minggu lagi.

 

 

“Kutipan rasmi akan dimuktamadkan pada 17 Januari nanti,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Beliau menegaskan, kejayaan ini adalah hasil usaha bersepadu melibatkan pengurusan MAINPP, warga kerja Zakat MAINPP selaku agensi pelaksana, rakan strategik serta sokongan berterusan masyarakat Islam dan sektor korporat di Pulau Pinang.

 

 

Tambahnya lagi, peningkatan kesedaran dalam kalangan pembayar zakat terhadap tanggungjawab menunaikan zakat melalui MAINPP turut didorong oleh keyakinan mereka terhadap pelaksanaan pelbagai program pembangunan asnaf yang berkesan di negeri ini.

 

 

MAINPP yakin dengan perancangan strategik, penambahbaikan sistem perkhidmatan zakat dan kempen kesedaran yang berterusan, iltizam untuk memperkukuh pengurusan zakat akan terus direalisasikan,” katanya.

 

 

Beliau juga memaklumkan bahawa hasil kutipan zakat berkenaan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkasa golongan asnaf melalui program pembangunan ekonomi, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan ummah, selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 Negeri Pulau Pinang (APAI2030).

 

 

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembayar zakat atas kepercayaan serta komitmen yang diberikan, khususnya kepada warga kerja Zakat MAINPP dan umat Islam di Pulau Pinang.

 

 

Beliau mengajak seluruh masyarakat Islam untuk terus menunaikan zakat melalui MAINPP demi memastikan kesejahteraan ummah terus terpelihara.