Labur lebih banyak dalam sektor pelancongan di Seberang Perai, cadang Guan Eng

6af88458 c0f4 42c6 8a21 7a67065effd6

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar meningkatkan pelaburan dalam projek pelancongan dan ekonomi kreatif khusus di kawasan Seberang Perai.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Utih, Lim Guan Eng berkata langkah itu adalah bagi memastikan pembangunan lebih seimbang, memperkenalkan program dalam kawasan separa bandar dan menjanakan lebih banyak bakat seni di kawasan tanah besar.

 

“Sejak tahun 2023 hingga 2025, sebanyak RM21 juta dibelanjakan untuk projek pelancongan dan ekonomi kreatif.

 

“Saya ingin mencadangkan supaya lebih banyak “pelaburan” oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program-program kepada kawasan Seberang Perai demi memastikan pembangunan lebih seimbang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.

 

Mengambil contoh program Capybara Fun Walk di Kampung Simpah Bagan anjuran ADUN Bagan Jermal baru-baru ini, Guan Eng berkata inisiatif tersebut telah berjaya menarik kehadiran lebih 13,000 pengunjung hanya dalam masa tiga hari.

 

“Sungguhpun hanya seekor kapibara dipamirkan dalam program itu tetapi begitu ramai kanak-kanak daripada pelbagai lapisan rakyat yang jadi peminat,” katanya.

 

Dalam pada itu, Guan Eng memuji langkah Kerajaan Negeri yang menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) menerusi Belanjawan 2026.

 

“Saya ingin memuji peruntukan RM5 juta kepada Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) iaitu sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah peruntukan yang diberikan kepada pembangunan Islam.

 

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan beban kewangan meningkat, langkah ini memang sesuatu yang tepat pada masanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN