LACF 2025 aksi berani, ‘pecah’ stereotaip kolonial mengenai budaya serantau – Ketua Menteri

Admin
e3737644 c176 4048 bf05 5005b7a071c8 BENDERA 10 negara serantau yang terlibat dalam penganjuran Festival Seni Hidup (LACF) Tahun 2025 dipersembahkan ke pentas utama membawa mesej mempertahan warisan budaya secara bersama di sini pada 4 Oktober 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan penganjuran Festival Seni Hidup (LACF) Tahun 2025 di Pulau Pinang sebagai suatu tindakan yang berani bagi menolak stereotaip kolonial lama mengenai rumpun budaya serantau rakyat Asia.

0f300107 63d8 4713 b669 620a51ef9f6f
TUN Ramli Ngah Talib (tiga dari kiri) dengan diiringi Ketua Menteri (dua dari kiri), Shaharuddin Abu Jusoh (kiri sekali) dan Mohd. Amran Mohd. Haris dalam acara melafazkan majlis perasmian dan peluncuran Karninal Seni Hidup (LACF) Tahun 2025 di sini tadi.
2c3811f2 d467 4ae5 ab8c c5b7ed35f975
KETUA Menteri dalam ucapannya memuji MOTAC memilih Pulau Pinang sebagai negeri tempat penganjuran Festival Seni Hidup (LACF) Tahun 2025.

“Pada masa lalu, seperti yang digambarkan oleh mendiang sarjana Edward Said dalam idea beliau tentang ‘Orientalisme’, budaya Asia, Afrika dan Timur Tengah sering digambarkan oleh kuasa penjajah melalui stereotaip sebagai sesuatu yang eksotik, lemah gemalai, atau santun, tetapi festival seperti LACF2025 membuktikan sebaliknya.

“Di sini, kita menunjukkan bahawa budaya kita bukan objek untuk ditakrifkan oleh orang lain, tetapi tradisi hidup dan berkembang yang kita banggakan untuk ditakrifkan sendiri.

“Dengan mengekalkan warisan budaya kita, kita menolak naratif kolonial lama itu, dan menceritakan kisah kita sendiri mengikut syarat kita sendiri,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam festival antarabangsa yang berlangsung di Pusat Belia, Lebuh Armenia dekat sini pada 4 Oktober 2025.

49e338ec aed6 4fd0 ba47 d606ec6b7272
LAZGI, iaitu tarian tradisional dari negara Uzbekistan yang menampilkan gerakan spontan, pantas dan penuh bertenaga; dengan membawa mesej keceriaan hidup dan keindahan alam.
c1cf74ae e799 40bf 9311 052fe40b5e15
UYAUY merupakan tarian perayaan agung kaum Ifugao dekat Filipina yang mana dipersembahkan ketika ‘canao’ atau upacara ritual anjuran ketua kampung bagi meneguh kembali status sosial Kadangyan (golongan bangsawan) serta memohon kemakmuran dan keharmonian bermasyarakat di negara berkenaan.

Bagi Kon Yeow, usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menganjurkan festival budaya sejagat di Pulau Pinang adalah signifikan dengan kedudukan negeri ini yang unik dari segi kebudayaan.

“(Penganjuran LACF 2025 ini) juga memberi kita peluang untuk memperkenalkan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan di Asia, terutamanya kepada peserta kerhormat kita yang telah datang dari tempat yang jauh seperti Bulgaria dan Uzbekistan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta agensi-agensinya seperti Digital Penang, Penang Global Tourism dan Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) akan terus mempererat kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi tujuan penganjuran festival budaya sejagat seperti LCAF 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memberitahu bahawa hampir 59,000 pelawat pelayaran dari Republik Rakyat Singapura, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Indonesia, Jerman, China, Korea Selatan, Filipina, dan Australia berkunjung ke Pulau Pinang melalui pintu antarabangsa di Terminal Persiaran Swettenham Pier.

“Angka yang menggalakkan ini membuktikan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai destinasi utama, menarik pelawat dari seluruh Asia, Eropah dan Amerika,” ulasnya lanjut.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot turut berucap bagi mewakili Menteri.

Lebih bermakna, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib sendiri menyempurnakan acara perasmian karnival tersebut.

Kehadiran isteri TYT, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menambah seri karnival itu.

Turut serta, Exco Kerajaan Negeri, barisan ADUN dan Ahli Parlimen, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd. Amran Mohd. Haris serta para diplomat bagi menyaksikan kepelbagaian tarian tradisional dari negara Bulgaria, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Malaysia, Sri Langka, Republik Korea, Thailand dan Uzbekistan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS