Landskap Taman Tunku bakal dinaik taraf demi kemudahan golongan OKU

Admin
SEBERANG JAYA – Landskap Taman Tunku, di sini akan dinaik taraf bagi menyediakan lebih banyak kemudahan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut melibatkan kos berjumlah kira-kira RM400,000 yang akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Uda Land (North) Sdn. Bhd..
Kumpulan Tumpu Bincang membabitkan masyarakat pelbagai perikat umur dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan kerkaitan pelaksanaan projek menaik taraf Taman Tunku.
 
“Pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf di Taman Tunku akan dilaksanakan secara ‘one Off’.
 
“Setelah kerja-kerja tersebut siap dilaksanakan di tapak, pihak penaja (Uda Land) akan menyerahkan kerja-kerja penyelenggaraan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu MPSP.
 
“Antara cadangan komponen dan kemudahan yang akan ada selepas ia siap kelak ialah tempat letak kereta, motosikal dan basikal, ruangan senaman, laluan pejalan kaki, papan tanda serta tandas awam.
 
“Projek naik taraf ini juga akan memberi keutamaan kepada golongan OKU untuk sama-sama beriadah di taman ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah bagi pelaksanaan projek berkaitan, di sini pada 16 Mac lalu.
 
Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; pegawai Jabatan Landskap MPSP dan wakil dari Open University Malaysia (OUM).
 
Terdahulu, turut berlangsung Program Kumpulan Tumpu Bincang yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada penduduk setempat termasuk kanak-kanak, remaja, dewasa, warga emas dan OKU berhubung projek naik taraf landskap di taman berkenaan.
Program dimulakan dengan aktiviti senaman ringan.
 
Antara peserta terlibat dalam program tersebut adalah pelajar-pelajar dari Politeknik Seberang Perai, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Kolej MARA, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Perda, SMK Seberang Jaya, SMK Tun Hussein Onn serta penduduk setempat.
 
Difahamkan, pelaksanaan projek menaik taraf Taman Tunku akan dijalankan melalui konsep Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB).
 
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MPSP