Lantikan PPK bukti KN tidak pinggir KADUN pembangkang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Lantikan 12 Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan tidak pernah meminggirkan atau menganaktirikan KADUN-KADUN dikuasai pihak pembangkang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dalam tempoh lapan tahun, Pulau Pinang di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) berupaya membela secara saksama dan adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Ini jelas terbukti apabila Kerajaan Negeri memperkenalkan program-program Emas yang telah memanfaatkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang melalui bantuan kewangan RM400 juta sejak 2008.

“Malah, bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan kerajaan tempatan (PBT) juga ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) termasuk pengecualian cukai pintu bagi rumah kos rendah, sederhana rendah dan rumah kampung.

“Terkini, turut dilaksanakan, potongan 6 peratus cukai pintu untuk semua hartanah termasuk hartanah komersial serta lain-lain insentif lagi hasil urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus, CAT.

“Pelaksanaan semua insentif dan program-program Emas berkaitan adalah secara menyeluruh kepada semua rakyat Pulau Pinang dan meliputi semua Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) termasuk di bawah ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Barisan Nasional (BN) di negeri ini,” katanya pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Sesi 2017 di sini 6 Januari lalu.

Majlis lafaz akad menerima jawatan disempurnakan di hadapan Ketua Menteri dan turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, ADUN Jawi, Soon Lip Chee, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul.

Guan Eng dalam pada itu meminta supaya semua PPK agar menggalas amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin terutama dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat agar mereka tidak diabaikan.

“Untuk itu, PPK disarankan agar sentiasa mendekati masyarakat setempat melalui penganjuran programprogram kemasyarakatan dan kebajikan Kerajaan Negeri.

“Lebih penting lagi, menyalurkan maklumat berhubung pelbagai inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri termasuk dalam hal ehwal pendidikan kepada rakyat di kawasan yang diwakili.

“Rakyat perlu tahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini bukan sahaja menekankan soal pencapaian ekonomi, tetapi juga pendidikan terutamanya STEM, iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik,” ujarnya yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PPK yang dilantik.

Lantikan bagi tahun 2017, menampilkan seorang wajah baru iaitu Ramli Omar sebagai Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga.

Manakala yang kekal ialah Rosli Hassan (PPK Sungai Dua), Ahmad Fahmi A. Bakar (PPK Permatang Berangan); Mustafa Kamal Ahmad (PPK Teluk Air Tawar), Azrul Mahathir Aziz (PPK Bayan Lepas), Muhasdey Muhamad (PPK Pinang Tunggal); Asrol Sani Abdul Razak (PPK Bertam); Azmi Samsudin (PPK Sungai Acheh); Mohd. Tuah Ismail (PPK Pulau Betong) dan Halil Sabri Hamid (PPK Teluk Bahang).

Turut mengangkat sumpah ialah dua Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng (Parlimen Kepala Batas) dan Azhar Mat Dali (Permatang Pasir).var d=document;var s=d.createElement(‘script’);