i-BITA, daftar masuk universiti di Sarawak, Sabah layak terima RM1, 200 mulai tahun ini

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM – Mulai tahun ini, mahasiswa yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti terpilih di Sabah dan Sarawak akan diberi RM1,200 melalui program Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT atau i-BITA oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Malah, bagi universiti awam dan beberapa universiti terpilih lain di Semenanjung Malaysia, jumlah bantuan dikekalkan pada kadar RM1,000 mengikut ketetapan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pertambahan RM200 itu adalah bagi menampung kos penerbangan mahasiswa peringkat sarjana muda dan diploma, sebagaimana disyor oleh kebanyakan ibu bapa baru-baru ini.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang hari ini sedar bahawa mahasiswa juga seperti rakyat, turut mengalami kos sara hidup yang tinggi termasuk kenaikan yuran pengajian di sesetengah universiti.

“Kenaikan kos sara hidup mahasiswa adalah susulan daripada kenaikan harga komoditi, bahan bakar serta langkah Kerajaan Pusat melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 April 2015,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT (institusi pengajian tinggi) Peringkat Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan, Dato’ Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) dan Soon Lip Chee (ADUN Jawi).

Menurut Guan Eng, pemberian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam pembangunan modal insan di negeri ini.

“Pulau Pinang tidak mempunyai hasil alam semulajadi seperti balak dan minyak, tetapi mempunyai modal insan yang boleh dibanggakan.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri hari ini memberi perhatian khusus terhadap pembangunan modal insan di Pulau Pinang,” ujarnya dan turut menekankan bahawa bantuan yang disampaikan merupakan hasil daripada dividen antirasuah yang diamalkan Kerajaan Negeri PH sejak 2008.

Pada majlis berkaitan, seramai 498 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan penuntut diploma (238) dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima bantuan berwajib sejumlah RM736,000.

Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), seramai 602 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan penuntut diploma (215) menerima bantuan berwajib sejumlah RM817,000.

Manakala, 289 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan penuntut diploma (79) dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menerima bantuan sama berjumlah RM368,000.

Dalam majlis berasingan, Guan Eng menyampaikan bantuan pendidikan berwajib kepada 888 pelajar terpilih dari Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.

REAKSI PENERIMA:

Bagi MOHD. RUSAZNAN SHARIFF, 45, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana peduli akan masalah rakyat.

“Walaupun Ketua Menteri kata RM1,000 ni tak banyak, tapi bagi saya, RM1,000 ini betul-betul bantu meringankan sikit ‘poket’ saya, apatah lagi anak saya kini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, jauh dari(pada) keluarga.

“Adanya bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri ni, dapatlah digunakan untuk membeli buku atau kegunaan harian anak. Lagipun duit PTPTN (Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara) hanya lepas yuran pengajian sahaja,” katanya yang hadir bersama-sama isteri, Hajar Morad, 42, dari Permatang Damar Laut, Batu Maung.

Rusaznan yang hanya bekerja di salah sebuah kilang, manakala isteri seorang suri rumah sepenuh masa turut tidak menyangka bahawa banyak program kebajikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

“Apabila hadir ke majlis seperti ini, baru saya tahu rupanya banyak program lain yang memberi bantuan kewangan demi kebajikan dan peduli rakyat,” katanya dengan girang.

Bagi pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, S. KRUTIGA, 23, pemberian bantuan kewangan RM1,000 tersebut sedikit-sebanyak membantu meringankan bebanan kewangan keluarganya.

Anak bongsu daripada dua adikberadik itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu rakyat tanpa mengenal latar belakang agama, kaum dan politik.

Nada sama turut disuarakan ibunya, K. Sabakiam, 58, seorang jururawat di salah sebuah hospital swasta dan bapanya, M. Sivanantham, 54.

Bagi CHE SU CHE MAT, 53, dari Batu Feringghi, beliau bersyukur dengan bantuan kewangan yang diterima.

“Apabila anak masuk IPT ni, banyak belanja… pakai duit banyak, jadi duit RM1,000 yang diterima ni dapatlah menampung kos pengajian,” katanya yang hadir mewakili anaknya yang kini berada di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan.

Penerima, LEONG KHAI WEN, 20, menyatakan bahawa bantuan RM1,000 itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan sesi semester pengajian akan datang.

“Sebagai anak Pulau Pinang, saya bangga kerana dihargai oleh Kerajaan Negeri hari ini.

“Lazimnya, yuran pengajian dipotong (secara langsung) daripada PTPTN, maka bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri akan disimpan untuk membeli buku rujukan yang diperlukan nanti,” ujarnya, mahasiswa tahun 1 Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Mahasiswa tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), SITI NASIHAH ROSLI, 19, pula berkata, RM1,000 itu akan digunakan untuk menampung kos sara hidup di kampus kelak, jika terdesak.

“Mesti rasa bertuah kerana Ketua Menteri sendiri menyampaikan bantuan RM1,000 ini, sangat bangga sebagai anak Pulau Pinang.

“Yuran pengajian lebih RM600 setiap semester, tapi saya fikir RM1,000 mungkin saya belanja untuk kecemasan kerana semua barang keperluan sekarang secara umumnya agak mahal,” jelasnya.

Nada sama turut diluahkan penerima, P. THIVIYASHNI, 20, mahasiswa jurusan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Malaya (UM) dekat Kuala Lumpur.

“Saya begitu gembira, pertama sebagai anak jati Pulau Pinang yang dihargai oleh Kerajaan Negeri, dan kedua, saya bersama-sama ibu bapa saya berpeluang merakamkan gambar dengan Y.A.B. Lim Guan Eng.

“Saya masih tiada rancangan khusus untuk membelanja RM1,000 bantuan ini, tetapi kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, sudah pasti saya akan berbelanja wang pemberian ini pada sesi pengajian akan datang,” seloroh Thiviyashni diiringi ibu, A. Nawanitham, 49, dan bapa, N. Poopathi, 49