Lapor dan bukannya guna kekasaran – Ahli Majlis

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MARK JAMES

GEORGE TOWN – Orang awam yang tidak berpuas hati atau mengesan terdapat salah laku membabitkan anggota penguatkuasa Majlis Bandaran Pulau Pinang (MBPP) diminta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dan bukannya menggunakan kekasaran.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ahli Majlis MBPP, Dr. Tan Kim Hooi ketika mengulas kejadian menimpa pemandu trak penunda milik MBPP, Omar Mohd. Ismail, 59, yang dipercayai dipukul salah seorang pesalah laku trafik 11 Mac lalu.

“Kesalahan ini adalah amat serius kerana menggunakan keganasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas. Bagi tindakan lanjut, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Omar dan Ahli Majlis MBPP, Chris Lee Chun Kit.

Menurut Kim Hooi, pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 11.50 pagi, Omar dipercayai ditumbuk salah seorang pesalah trafik yang tidak berpuas hati ekoran keretanya bakal ditunda kerana diletakkan di hadapan sebuah perhentian bas sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas.

“Apabila Omar ingin menunda kereta suspek, berlakunya pergelutan sehingga suspek merampas kunci trak penunda daripada Omar dan kemudian bertindak menumbuknya (Omar).

“Omar kemudian turun dari trak untuk mengambil semula kunci berkaitan, namun terus diserang suspek sehingga memaksa Omar mempertahankan dirinya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Chun Kit ketika mengulas lanjut menyeru supaya masyarakat menghormati undang-undang yang ditetapkan sekiranya ingin melihat sesuatu ‘hasil’ yang efisien.

“MBPP hanya menjalankan tugas demi memastikan kelancaran trafik, jika kita (umum) tidak menghormati bidang tugas MBPP, bagaimana penguatkuasaan undang-undang hendak dijalankan demi kesenangan semua,’’ tegas beliau.

Bagi sesebuah kenderaan yang ditunda, pemilik perlu membayar RM150 untuk pelepasan kenderaan masing-masing dan resit akan dikeluarkan pada tempoh masa berkaitan jua.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);