Laporan beretika, hormati hak setiap kanak-kanak

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Tiada sikap kepedulian dan stigma sosial masyarakat merupakan antara punca kes golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual tidak ditangani dengan sensitiviti serta belas kasihan. Perkara tersebut dinyatakan Konsultan Program Pusat Perubahan Tingkah Laku Wanita (WCC), Dr. Prema Devaraj pada penganjuran Bengkel Hak Kanak-kanak dan Etika Kewartawanan di sini baru-baru ini.

Katanya, atas faktor tersebut juga, perkara yang bertentangan dengan norma sosial sering diambil mudah serta didedahkan di media tanpa mengambil kira perasaan dan sasaran stigma masyarakat terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa.

“Stigma mengambil kira pelbagai bentuk dan ia adalah berdasarkan kepada ketakutan tidak rasional atau prasangka melibatkan fizikal seperti kecacatan, etnik, agama, mental, penyakit, latar belakang jenayah dan sebagainya.

“Dalam kes-kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak khususnya, sekiranya seseorang wartawan mendedahkan bahawasanya kanakkanak terbabit sebagai contoh, menjadi mangsa jenayah seks atau HIV positif, kemungkinan dia (kanak-kanak) akan menjadi sasaran stigma negatif masyarakat dan seterusnya dipinggirkan,” ujar beliau.

Hadir sama, Pegawai Sokongan WCC, Joshua Teh. Turut hadir dan berucap, Profesor Madya Dr. Shakila Manan yang dijemput khas dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Mengulas lanjut, Prema memberitahu bahawa pertubuhan yang menjaga hak asasi kanak-kanak, The United Nations Children’s Fund (UNICEF) telah mengariskan beberapa prinsip sebagai panduan bagi seseorang ‘penulis’ melaporkan isu-isu yang memberi kesan langsung terhadap golongan berkaitan.

“Garis panduan ini bertujuan menyokong laporan berita yang lebih beretika iaitu menitikberatkan kepentingan awam tanpa menjejaskan hak kanak-kanak.

“Antaranya, hak setiap kanak-kanak perlu dihormati dalam apa jua keadaan.

Ketika laporan ditulis, perhatian khusus adalah diperlukan bagi memastikan kanak-kanak berkaitan mempunyai privasi dan kerahsiaan, mampu menyuarakan pendapat sendiri serta turut serta dalam membuat keputusan.

“Malah, seorang wartawan yang beretika juga tidak akan menyiarkan cerita atau imej seseorang mangsa iaitu kanak-kanak meskipun identitinya telah diubah atau dikaburkan,” jelasnya.