Larian amal bantu mangsa gempa bumi Nepal

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Sumbangan sebanyak RM100,000 berjaya dikumpul sebagai inisiatif khas membantu mangsa-mangsa gempa bumi Nepal menerusi program Larian Amal Nepal Dreamz anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Dream Zephyr Foundation (Dreamz) di sini baru-baru ini. Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban mangsa-mangsa terlibat.

“Terima kasih kepada Dreamz di atas penganjuran larian amal ini.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu mangsa-mangsa berkaitan terutamanya dalam meneruskan kelangsungan hidup seharian,’’ katanya pada Majlis Pelepasan Peserta Larian Amal Nepal Dreamz oleh Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada penganjuran yang turut memperoleh kerjasama sebuah yayasan kebajikan berpangkalan di Nepal, The Chokgyur Lingpa Foundation, Pengasas Dreamz, Angeline Cheong.

Dalam pada itu, menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, sebagai masyarakat yang berbilang bangsa, setiap insan seharusnya mempunyai perasaan kasih sayang kepada semua orang tanpa mengira latarbelakang dan agama.

“Kita mesti tanam nilai sayang-menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain,” ujar beliau. Pada awal tahun ini, Nepal dilanda dua gempa bumi besar yang menyebabkan hampir 10,000 kematian dan lebih 20,000 kecederaan.

Kejadian tersebut menyebabkan berjuta-juta rakyatnya menjadi pelarian dan memerlukan keperluan asas, termasuk tempat tinggal serta pendidikan.