Larian simbol kebersamaan solidariti bersama pesakit kanser kanak-kanak

Admin
de1db7d6 2847 4489 b29d 9962b6eac105

GEORGE TOWN – Syabas dan terima kasih kepada lebih 1,600 peserta yang terdiri daripada wira-wira kecil yang berjuang melawan penyakit kanser, ibu bapa, waris dan para peserta lain yang bersama-sama menjayakan Larian Riadah Solidariti Pesakit Kanser Kanak-Kanak sejauh lima kilometer pada pagi ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau percaya setiap langkah yang diatur bersama adalah lambang solidariti terhadap kanak-kanak istimewa yang berjuang melawan kanser termasuk mereka yang menjaga golongan berkaitan dengan penuh sabar serta kasih sayang.

“Sempena acara mengutip dana ini, sukacita saya umumkan sokongan dengan sumbangan berjumlah RM20,000.

“Ia adalah simbol kebersamaan dalam memberi sokongan moral kepada golongan kanak-kanak tersebut.

“Malah, acara berjalan atau larian sejauh lima kilometer yang kita sertai pada hari ini juga bukan sekadar aktiviti riadah untuk kesihatan fizikal semata-mata sebaliknya, juga membawa mesej jauh lebih mendalam membabitkan simbol perjuangan, ketabahan dan harapan,” ujarnya sebelum menyempurnakan acara pelepasan para peserta Larian Riadah Solidariti Pesakit Kanser Kanak-Kanak dekat Lebuh Pantai di sini sebentar tadi.

8a5b53b5 dd04 4433 8d35 6ffec97d53fc

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Benji Ang Ming Quan; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengerusi Pertubuhan Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Najmudeen Kader dan Pengasas Stay Fit Is Sunnah Sports Club selaku penganjur, Ahmed Faisal Mohd. Lazim.

0190b508 d2f4 4c73 9ae6 21d7a50038b3

Difahamkan, dana larian amal tersebut akan disalurkan bagi membantu kos rawatan, pembelian perubatan, sokongan psikologi serta kepentingan-kepentingn lain bagi pesakit kanser kanak-kanak.

Dana terkumpul terkini menerusi penganjuran tersebut adalah berjumlah RM15,555.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : DARWINA MOHD. DAUD