Lawatan sehari Puteri Thailand kukuh hubungan dua hala

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Puteri Thailand, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Maha Chakri Sirindhorn baru-baru ini mengadakan lawatan kerja rasmi sehari ke Pulau Pinang.

Ketibaan Sirindhorn disambut oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta isteri, Betty Chew Gek Cheng dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

Antaranya, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus serta beberapa pimpinan tertinggi kerajaan kedua-dua pihak termasuk Konsul Jeneral Diraja Thailand ke Pulau Pinang, H.E. Ekajit Kraivichien, pemangku Konsul Jeneral Diraja Thailand ke Kota Bharu, H.E. Akavuth Chitapatima dan beberapa Pegawai Tertinggi Kedutaan Thailand dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kelantan.

Umumnya, lawatan beliau adalah bagi memperkukuhkan hubungan dua hala yang sedia terjalin sebelum ini.

Memulakan lawatan, beliau mengadakan perjumpaan tertutup bersama-sama pimpinan tertinggi kerajaan sebelum dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Lebuh Light dan Muzium Negeri Pulau Pinang.

Beliau yang diiringi 40 pelatih dari Akademi Tentera Diraja Chulachomklao dan pegawai tertinggi dari Thailand turut mengadakan lawatan ke Muzium Peranakan Pulau Pinang dan Tapak Warisan Dunia sebelum diraikan dalam sebuah majlis makan malam oleh Penang Heritage Trust (PHT) di sini baru-baru ini.

Menurut jurucakap delegasi Thailand, kali terakhir Sirindhorn mengadakan lawatan ke Pulau Pinang adalah ketika Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.