KN komited mantap pembangunan infrastruktur negeri

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, sebanyak RM400,000 diluluskan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bagi menaiktaraf Jalan Ban Sungai Udang di sini sepanjang 1.23 kilometer, dari kelebaran asal 5.3 meter kepada 7 meter.

Katanya, projek tersebut termasuk dalam peruntukan melaksana projek-projek jalan raya bagi tahun 2015 yang keseluruhannya berjumlah RM32.7 juta kerana Kerajaan Negeri komited memantapkan pembangunan infrastruktur bandar dan luar bandar, yang diyakini memangkin pada perkembangan ekonomi rakyat.

“Dalam aspek ekonomi, jalan raya merupakan penyumbang utama kepada peningkatan taraf hidup penduduk setempat sama ada pada aspek perniagaan, pendidikan, keselamatan dan sosio-ekonomi,” ucapnya dalam Majlis Penarafan Jalan Ban Sungai Udang di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut memasyhurkan Jalan Ban itu sebagai Jalan Negeri Sungai Udang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dato’ Maktar Shapee (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan Ir. Salleh Awang (Pengarah JKR Negeri) turut menyertai majlis perasmian tersebut.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng sekali lagi merayu kepada Kerajaan Pusat supaya pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikecualikan ke atas projekprojek awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, projek penarafan Jalan Ban umpamanya bukanlah berorientasi keuntungan dan jelas-jelas untuk kepentingan rakyat.

“Mengapa angkat untung (GST) dari projek Kerajaan Negeri, sedangkan projek ini bukan menjana keuntungan?

“Seperti penarafan dan kerja-kerja pelebaran Jalan Song Ban Kheng sepanjang 3.2 kilometer yang menelan belanja RM20.4 juta, bayangkan berapa yang terpaksa dibayar jika 6 peratus GST dikenakan oleh Kerajaan Pusat sedangkan projek Kerajaan Negeri ini bukan berorientasi perniagaan mahupun keuntungan,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Justeru, tambah beliau, pelaksanaan GST bukanlah untuk memacu perkembangan ekonomi negeri, tetapi lebih pada membiayai lambakan hutang, seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikatakan mencecah lebih RM42 bilion