SEBERANG JAYA – Bertemakan ‘Jalan Teruih’, hampir 1,000 penunggang motosikal menyertai Program Penang Rider Bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, yang diadakan di perkarangan tempat makan santai Healing Sampai Pagi, berhadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Permatang Pauh, pada 21 September 2025.
Chee Keong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menegaskan bahawa tujuan utama Kerajaan Persekutuan menggubal Akta Pekerja Gig 2025 adalah untuk mewujudkan ekosistem pekerjaan gig yang lebih adil, mapan serta melindungi kepentingan pekerja.

“Kita baru meluluskan undang-undang khusus untuk membela pekerja gig di Malaysia yang mana Rang Undang-Undang ini telah diluluskan di Dewan Rakyat, begitu juga di Dewan Negara.
“Saya telah berjanji bahawa selepas RUU ini diluluskan, saya akan mengadakan jelajah penerangan ke seluruh negara dan malam ini merupakan siri pertama jelajah tersebut, di negeri Pulau Pinang, untuk memberi penjelasan mengenai kepentingan undang-undang ini.
“Undang-undang ini akan mengekalkan pekerja gig sebagai pekerja sambilan,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atas penganjuran program sembang santai bersama para pemegang taruh berkenaan.
Terdahulu, pada 27 Ogos lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat. RUU ini digubal dengan tujuan melindungi hak kira-kira 1.2 juta pekerja gig di Malaysia melalui penyediaan perlindungan perburuhan asas, keselamatan sosial, serta mekanisme aduan menerusi penubuhan Majlis Perundingan dan Tribunal Pekerja Gig.
Akta baharu itu turut mewajibkan pendedahan terma perkhidmatan dan kadar bayaran, sekali gus meningkatkan taraf serta kestabilan pendapatan pekerja dalam sektor gig. Dengan kelulusan akta progresif ini, pekerja gig kini memperoleh hak dan perlindungan rasmi yang sebelum ini tidak dibela oleh undang-undang khusus.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze yang mewakili Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Negara, Senator Amir Md Ghazali serta Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, Azirruan Arifin.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB