GEORGE TOWN – Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang julung kali diadakan di Pulau Pinang berlangsung meriah dengan lebih 10,000 pengunjung membanjiri PICCA Convention Centre @Butterworth Arena, malam tadi.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah tersebut termasuk lebih 5,000 pengunjung yang hadir pada acara kemuncak pada sebelah malam.
“Rata-rata pengunjung menyatakan pengisian program amat menarik kerana menonjolkan identiti serta kepelbagaian rakyat Malaysia, termasuk masyarakat dari Sabah dan Sarawak,” ujarnya pada sidang media di sini tengah hari tadi.
Menurut Kon Yeow, mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan pimpinan negeri dianggap positif dalam suasana negara yang memerlukan usaha berterusan untuk memupuk perpaduan dan identiti kebangsaan.
Sambutan Hari Malaysia ini adalah wadah penting dalam memperkukuh persefahaman, toleransi dan keharmonian rakyat pelbagai kaum serta agama di Malaysia.
“Saya sendiri berpuas hati dengan kelancaran program pada kali ini, dan berharap pihak kementerian berkaitan dapat membuat penilaian perjalanan sambutan agar dapat ditambah seri pada masa hadapan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jabatan-jabatan serta agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Malaysia 2025 semalam,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING