Lebih 150 akaun keldai ‘judi dalam talian’ dibekukan di Pulau Pinang

Admin
f94b4250 31a7 4512 8f53 98d35e29bc76

GEORGE TOWN – Di Pulau Pinang ketika ini menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan lebih 150 akaun keldai yang terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian melibatkan jumlah wang melebihi RM32 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 Mei 2025, sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

“PDRM melaksanakan operasi seperti Ops Dadu secara berterusan untuk menumpaskan sindiket perjudian dan ‘scam’,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berdasarkan rekod statistik PDRM, Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata sepanjang 2023 menyaksikan sejumlah 2,337 kes aduan berkaitan aktiviti perjudian serta dan promosi dalam talian direkodkan di negeri ini, dengan 2,681 tangkapan dan melibatkan 1,390 pertuduhan.

Sepanjang tahun 2024 pula, beliau memberitahu bahawa kes perjudian dalam talian dan mempromosi perjudian dalam talian sejumlah 1,510 kes, tangkapan (1,810) dan pertuduhan (1,084).

Menurutnya lagi, sehingga Mac tahun ini, jumlah kes perjudian dalam talian dan mempromosi perjudian dalam talian sebanyak 485, tangkapan (542) dan pertuduhan (255).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NOOR SITI NABILAH NOORAZIS