JAWI – Lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MyFutureJobs @ KADUN Jawi 2026 yang disertai oleh 32 majikan daripada pelbagai sektor, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata, penganjuran karnival yang memasuki tahun kelima itu merupakan antara usaha berterusan Pusat Khidmat KADUN Jawi dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pulau Pinang untuk memperluas akses kepada peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja.

Menurutnya, karnival berkenaan turut berperanan merapatkan jurang antara pencari kerja dengan majikan, khususnya dalam memenuhi keperluan tenaga kerja industri serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.
“Penganjuran karnival ini mencerminkan komitmen berterusan kita dalam memperluas akses kepada peluang pekerjaan, khususnya dalam kalangan anak muda dan penduduk setempat di kawasan KADUN Jawi.
“Sebanyak lebih 2,000 kekosongan jawatan ditawarkan pada hari ini merangkumi pelbagai bidang, termasuk sektor pembuatan, logistik, perkhidmatan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi digital.
“Kepelbagaian peluang ini diharapkan dapat membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan, kemahiran dan pengalaman masing-masing,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs @ KADUN Jawi 2026 di Dewan Serba Guna Jawi, Sungai Jawi, di sini, hari ini.
Difahamkan, antara majikan yang mengambil bahagian adalah Eng Tek, BizLink, Simit, Fengsi Metal Technology, Intersurgical, YBS Gott, Top Glove dan NationGate.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, penyertaan pelbagai majikan dalam karnival tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pencari kerja, malah membantu memenuhi permintaan tenaga kerja industri dan memperkukuh daya saing ekonomi Pulau Pinang.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan belia supaya mengambil peluang yang disediakan dan tidak berasa takut untuk mencuba bidang pekerjaan baharu.
“Jangan segan dan jangan takut untuk mencuba.
“Beranikan diri melangkah ke hadapan kerana setiap langkah yang diambil boleh menjadi titik permulaan kepada masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap pencari kerja dapat memanfaatkan peluang yang tersedia pada hari ini untuk meneroka pilihan kerjaya, bertemu bakal majikan dan meningkatkan potensi diri,” katanya.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat KADUN Jawi turut menganjurkan pertandingan mewarna dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) serta Komuniti Bagan Buaya yang disertai 60 murid sekolah rendah.
Serentak itu, Mooi Lye turut merakamkan penghargaan kepada PERKESO Negeri Pulau Pinang serta semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, sambil berharap inisiatif itu dapat terus memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Gambar: ADUN