Lebih 2,000 meriahkan Earth Hour Night Walk

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

 GEORGE TOWN – Kira-kira 2,000 individu dari pelbagai latar belakang tampil menyertai sambutan Earth Hour 2014 Night Walk yang julung kali diadakan di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Turut serta dalam acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer berkenaaan ialah Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye dan Pengarah Pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna.

Pelepasan acara berjalan kaki disempurnakan Kon Yeow sejurus selepas beberapa bangunan ikonik sekitar Padang Kota Lama bergelap selama satu jam bermula 8.30 malam sebagai tanda sokongan kempen Earth Hour 2014.

“Tahniah, kehadiran anda bukan sahaja menunjukkan sokongan terhadap usaha – usaha pemuliharaan alam sekitar, tetapi juga menjadi agen mengubah pandangan dunia mengenai alam sekitar,” ujarnya pada program tersebut di sini.

Earth Hour 2014 Night Walk adalah anjuran bersama WWF Malaysia dan Kerajaan Negeri dalam usaha memupuk kesedaran terhadap alam sekitar.

Dalam pada itu, turut diadakan adalah persembahan pentas, gimnastik oleh Soka Gakkai, demonstrasi unicycle dan taman permainan kanak-kanak ‘Bouncing Castle’.

Sambutan Earth Hour yang diraikan setiap tahun pada hari Sabtu minggu terakhir bulan Mac merupakan inisiatif kesedaran alam sekitar global yang diadakan dengan kerjasama WWF.

Bertemakan, ‘Saya Akan Lakukan Sekiranya Anda Akan Lakukan’, sambutan Earth Hour 2014 turut diraikan serentak di Johor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pada 29 Mac lalu.