KN bakal gubal Undang-undang Pengasingan Sampah

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Undang-undang Pengasingan Sampah bakal diperkenalkan Kerajaan Negeri ekoran peningkatan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat awam yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, menerusi kajian dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung inisiatif kitar semula sejak tahun 2008, ia mencatatkan peningkatan saban tahun.

“Walaupun catatan inisiatif berkenaan hanya lapan peratus pada peringkat permulaan, kini, ia telah capai 32 peratus pada tahun lalu (2013).

“Peratusan tersebut melepasi tahap sasaran ditetapkan Kerajaan Pusat iaitu 20 peratus menjelang tahun 2020,” ujarnya selepas mempengerusikan panel perbincangan Seminar Alam Sekitar dan Pengurusan Sisa Pepejal di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis adalah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Hadir sama sebagai panel, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan wakil United Nations Environment Programme International Environmental Technology Centre (UNEP IETC), Dr. Mushtaq Ahmed.

Mengulas lanjut, Boon Poh memberitahu bahawa draf cadangan penguatkuasaan undang-undang pengasingan sampah perlu melalui beberapa peringkat sebelum ianya diwartakan.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum draf undang-undang tersebut digubal.

“Harapan agar ianya dapat diluluskan menjelang tahun ini,” ujar Boon Poh.