Lebih 400 sekolah terima manfaat STEM melalui kerjasama industri teknologi

Admin
img 1044

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus memperluas kerjasama strategik bersama syarikat teknologi, institusi pendidikan dan agensi persekutuan dalam usaha memantapkan pembangunan modal insan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, sejak 2023, sebanyak 17 syarikat teknologi tempatan aktif menyokong program STEM, sementara lebih 400 sekolah menikmati manfaat pembelajaran digital melalui Penang STEM, Penang Science Cluster dan Penang Tech Centre.

“Inisiatif ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti bengkel digital dan STEM, pertandingan, kem, serta program pameran sains, yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengalami pembelajaran interaktif dan memahami perkembangan teknologi semasa sejak peringkat sekolah rendah hingga menengah.

“Selain itu, Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF) 2025 turut mencatat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 60,000 peserta,” ujarnya dalam ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 dekat sini pada 20 November 2025.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut memaklumkan bahawa kerjasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membolehkan 11,014 individu kehilangan pekerjaan memohon latihan semula.

“Di bawah program LINDUNG Kerjaya, seramai 10,713 permohonan telah diluluskan dan daripada jumlah tersebut, 3,460 peserta berjaya mendapat pekerjaan.

“Malah, program ini juga turut menawarkan modul latihan dalam bidang Digital Marketing, kecerdasan buatan (AI) dan Cybersecurity, selari dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS