‘Lebuh raya’ Paya Terubong dijangka siap 2019 – ADUN

Oleh : S. HEMAWATHI

PAYA TERUBONG – Fasa satu projek pembinaan sebahagian jalan berkembar di sini bermula pada 14 Januari lalu dan dijangka siap pada tahun 2019.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berharap projek penarafan yang menghubungkan Jalan Paya Terubong dengan Jalan Tun Sardon mampu menangani cabaran trafik sesak, khususnya pada waktu puncak nanti.

Katanya, projek yang disyorkan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng itu menelan belanja berjumlah RM275.6 juta, termasuk caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Pembinaan jalan alternatif sepanjang 5km (kilometer) ini bakal melancarkan laluan susur keluar (Bukit Jambul- Jalan Tun Sardon) sekaligus melibatkan laluan jejambat sepanjang 800 meter.

“Kita jangka berlaku pertambahan trafik sebaik sahaja jalan berkembar Paya Terubong mula beroperasi berikutan projek pembangunan dan perumahan diterajui Geo Valley dan PLB di kawasan terbabit,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama-sama pemaju projek itu, Yuta Maju Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Hadir sama, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta dua Jurutera Lalulintas & Pengangkutan Awam (1) Jabatan Kejuruteraan MBPP, Zainuddin Mohd. Shariff dan wakil pemaju, Ir. Koo Seng Fatt.

Menurut Soon Hin, pemajuan jalan berkembar itu akan menjadi jalan pintas ke Lebuhraya Thean Theik dan Jalan Tun Sardon, dengan kurangan 30 minit waktu perjalanan, berbanding laluan trafik sedia ada.

“Projek ini bakal memberi impak positif terhadap pembangunan infrastruktur serta keadaan aliran trafik secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Soon Hin memberitahu, pemajuan projek itu sekaligus akan mewujudkan suatu laluan basikal terancang di sepanjang jalan raya baharu tersebut.

}