GEORGE TOWN – Persatuan Talasemia Pulau Pinang menyasarkan penyertaan 1,000 peserta bagi program ‘Let’s Walk for Thalassaemia 2026’ pada 13 September ini yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai talasemia serta mengumpul dana bagi membantu pesakit di negeri ini.
Program berjalan kaki sejauh 4.5 kilometer di sekitar Taman Bandaraya (Youth Park) itu turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan, termasuk ceramah dan pameran mengenai talasemia, pemeriksaan kesihatan serta cabutan bertuah.
Pengarah Pengurusan Korporat dan Komuniti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Muashraf Mohamed berkata, kempen tersebut penting memandangkan kadar pembawa talasemia di Malaysia dianggarkan sekitar lima peratus, iaitu seorang daripada setiap 20 individu merupakan pembawa gen penyakit berkenaan.

Menurut beliau, pendedahan berterusan kepada masyarakat amat diperlukan supaya lebih ramai tampil menjalani saringan awal bagi mengesan sama ada mereka merupakan pembawa talasemia.
“Kesedaran mengenai talasemia perlu terus diperkasakan kerana ramai pembawa tidak menyedari status mereka.
“Melalui program seperti ini, kita berharap lebih ramai orang ramai tampil menjalani saringan dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai penyakit ini.
“Pada masa sama, kita juga mahu menggalakkan masyarakat memberikan sokongan kepada pesakit talasemia serta menghapuskan stigma yang masih wujud terhadap mereka,” katanya semasa sidang media program berkenaan dekat sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Muashraf berkata, individu yang disahkan sebagai pembawa talasemia disaran supaya pasangan mereka turut menjalani saringan kerana langkah itu penting bagi mengurangkan risiko melahirkan anak yang menghidap talasemia major.
“Pelbagai inisiatif saringan turut disediakan, termasuk program saringan percuma yang dianjurkan dari semasa ke semasa bagi memudahkan orang ramai mengetahui status kesihatan mereka.
“Malah, Persatuan Talasemia Pulau Pinang merupakan antara persatuan terawal di Malaysia yang menyediakan terapi khelasi oral serta penggunaan penapis sel darah putih bagi membantu meningkatkan kualiti rawatan pesakit talasemia.
“Hasil kutipan dana daripada program itu akan digunakan bagi meneruskan pelbagai inisiatif persatuan termasuk menganjurkan kem perubatan, bengkel untuk kakitangan kesihatan serta program sokongan kepada pesakit talasemia dan keluarga mereka,” jelasnya lanjut.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pulau Pinang, Dr. Yeoh Seoh Leng berkata, sehingga kini, pemindahan sel stem merupakan satu-satunya kaedah rawatan yang berpotensi menyembuhkan talasemia, namun tidak semua pesakit sesuai menjalani prosedur tersebut.
Tambah beliau, kebanyakan pesakit masih bergantung kepada transfusi darah secara berkala setiap bulan serta ubat-ubatan bagi memastikan tahap kesihatan mereka kekal stabil.
“Keperluan transfusi darah secara berterusan menjadikan bekalan darah amat penting.
“Justeru, sokongan masyarakat sebagai penderma darah memainkan peranan besar dalam membantu pesakit talasemia menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Dengan rawatan yang konsisten dan pemantauan rapi, pesakit talasemia mampu menjalani kehidupan seperti individu lain.
“Malah, ramai dalam kalangan mereka berjaya melanjutkan pelajaran, menjadi doktor, jurutera dan profesional, selain berkeluarga serta mempunyai anak yang normal,” katanya.
Difahamkan, program ‘Let’s Walk for Thalassaemia 2026’ mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM35 seorang, manakala pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
Penyertaan adalah terhad kepada 1,000 peserta dan pendaftaran akan ditutup sebaik sahaja kuota dipenuhi.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT