BAYAN LEPAS – Jaguh judo Pulau Pinang, Amir Daniel Abdul Majeed, menerima sambutan meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kira-kira jam 12.30 pagi tadi selepas melakar sejarah menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Beliau disambut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Nadzri Mohd. Khairuddin; Naib Presiden Persatuan Judo Negeri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Kehormat Persekutuan Judo Malaysia, Justin Khoo; serta ibu beliau, Yeoh Suat Khim.


Susulan kejayaan itu, Zi Sen berkata bahawa jumlah insentif Skim Insentif Kemenangan Olahraga Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) yang akan diterima Amir Daniel akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, dalam masa terdekat.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan syabas dan tahniah khasnya kepada Amir Daniel atas pencapaian yang penuh bersejarah ini.
“(Kejayaan Amir Daniel meraih pingat emas) ini memang di bawah SKIMAS yang mana kita (Kerajaan Negeri melalui MSNPP) memberikan ganjaran kepada atlet-atlet khasnya daripada Negeri Pulau Pinang yang telah mengharumkan bukan sahaja nama negara, malah nama Pulau Pinang di persada antarabangsa.
“Dan sememangnya insentif (SKIMAS) ini memang ada, namun jumlahnya akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Menteri,” respons beliau yang juga ADUN Padang Lalang kepada Buletin Mutiara di Bilik Tetamu, LTAPP pada 5 Ogos 2026.

Pada aksi final di Scottish Event Campus (SEC), atlet berusia 21 tahun itu mempamerkan persembahan cemerlang apabila menewaskan wakil Afrika Selatan, Timothy Meuwsen, menerusi keputusan waza-ari hasil teknik kata-guruma selepas pertarungan sengit selama empat minit dalam kategori bawah 81 kilogram (kg).
Berstatus atlet bukan sasaran pingat dan dianggap ‘underdog’, Amir Daniel yang menghuni ranking ke-117 dunia mengejutkan lawannya yang berada di tangga ke-41 dunia untuk menghadiahkan pingat emas kelapan buat kontinjen negara, sekali gus emas pertama Pulau Pinang pada edisi kali ini.
Meskipun baru pulang membawa kejayaan bersejarah, Amir Daniel mengakui tidak mempunyai banyak masa untuk berehat.
Beliau perlu kembali fokus kepada jadual latihan padat sebagai persediaan menghadapi kejohanan akan datang seperti Sukan Asia dan sasaran jangka panjang ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, sekiranya terpilih mewakili negara.
“Saya hanya sempat berehat beberapa jam sebelum kembali menjalani latihan seawal jam 6 pagi,” kata Amir Daniel yang merupakan mahasiswa bidang Sains Kaji Hayat di Universiti Sains Malaysia (USM).
Untuk rekod, Amir Daniel, 21, pernah memenangi pingat gangsa kategori bawah 73kg pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Judo Negeri, Md. Nashriq Md. Nasir, menegaskan bahawa kejuaraan ini bukan satu kebetulan atau atas faktor bernasib baik, sebaliknya merupakan hasil kerja keras berterusan.
Beliau turut berkongsi pengorbanan keluarga apabila isterinya memilih untuk bekerja dari rumah bagi menguruskan keluarga sepanjang beliau mengiringi Amir Daniel di Glasgow.
Menurut Md. Nashriq lagi, Komanwel dan Sukan Asia merupakan batu loncatan penting menuju Olimpik.
Beliau berkata, fokus skuad judo Pulau Pinang kini beralih kepada misi mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung minggu depan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI